MELANGKAH masuk ke tahun 2026, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus mengorak langkah dengan perancangan lebih jitu, apabila dijangka menambah kepakaran, dengan dua lagi jurulatih berpengalaman.

Pengarah kejurulatihan beregu, Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui cabaran besar dengan matlamat utama menuju Sukan Olimpik Los Angles perlu bermula awal.

Menurutnya, dua jurulatih baharu dalam proses pengambilan sedang diuruskan pengurusan BAM, dan ianya akan melibatkan keperluan di beregu wanita yang mula memberi impak antarabangsa sebagaimana beregu lelaki.

“Ya kita memerlukan jurulatih tambahan untuk beregu wanita senior dan juga junior namun ianya masih dalam proses lagi,” kata Rexy kepada Flash Sukan.

Pearly Tan-M Thinaah kini diranking kedua dunia. | FOTO Pearly Tan/Thread

Menghormati proses pemilihan dan pembuatan keputusan, Rexy tidak menamakan mana-mana individu untuk menambah kekuatan kejurulatihan beregu wanita.

Bagaimanapun, difahamkan proses pengambilan jurulatih baharu itu sudah sampai ke peringkat akhir dan jurulatih terpilih, bakal melapor diri pada Februari depan.

Teoh Mei Xing-Go Pei Kee di ranking ke-22 dunia.

Pasangan muda berusia 19 tahun, Ong Xin Yee-Carmen Ting kini sudah berada di ranking ke-26 dunia.

Pada November lalu, BAM mengikat semula bekas jurulatih dan pemain kebangsaan, Chang Kim Wai bagi membantu ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi yang sebelumnya hanya memiliki seorang pembantu, Muhammad Miftakh.

Untuk rekod, skuad beregu lelaki senior ketika ini memiliki 22 pemain, lima daripadanya berada dalam Top 40 ranking dunia, sementara, beregu wanita yang diketuai Rosman Razak dan dibantu Ching Kai Feng, memerlukan seorang lagi jurulatih bagi memenuhi keperluan 18 pemain.