PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta telah mengeluarkan kenyataan mencabar anak buahnya selepas kemenangan besar 5-1 ke atas Sporting CP dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Arteta menekankan bahawa konsistensi adalah kunci untuk mencapai kejayaan di peringkat tertinggi bola sepak.
Kemenangan tersebut menjadi kenyataan selepas Arsenal bangkit daripada kekalahan 0-1 kepada Inter Milan dalam perlawanan UCL sebelum ini.
Gol daripada Gabriel Martinelli, Kai Havertz, Gabriel Magalhaes, Bukayo Saka, dan Leandro Trossard memastikan Arsenal menguasai perlawanan dan memecahkan rekod 18 perlawanan tanpa kalah Sporting CP musim ini.
“Itulah yang kami perlu lakukan, mencari konsistensi. Anda mahu cabaran besar? anda perlu konsisten. Menang dan terus menang.
“Hari ini adalah perlawanan yang sangat berbeza, tetapi kami bertindak balas dengan sangat baik. Sila teruskan lagi.” katanya yang dipetik daripada TNT Sports selepas tamat perlawanan.
Ketika ditanya sama ada ini adalah persembahan terbaik Arsenal dalam perlawanan Eropah di bawah kendaliannya, Arteta tidak teragak-agak menjawab ia adalah persembahan yang terbaik yang ditunjukkan anak buahnya.
“Sudah tentu, terutamanya menentang pasukan yang tidak kalah di laman sendiri selama 18 bulan.
“Mereka berada dalam prestasi luar biasa, lebih baik daripada semua pasukan yang mereka hadapi di sini dan untuk beraksi seperti itu menentang mereka adalah sesuatu yang sangat memuaskan,” tambahnya.
Selepas kemenangan ini, Arsenal bakal menghadapi ujian getir dalam saingan Liga Perdana Inggeris apabila bertandang ke West Ham pada 1 Disember.
Cabaran Arteta kepada pemainnya jelas jika Arsenal mahu mencabar perkara besar musim ini, mereka perlu mengekalkan konsistensi dan terus mencatat kemenangan.
Dengan momentum yang memihak kepada mereka, Arsenal berharap untuk terus menambah koleksi kemenangan bagi merapatkan jurang sembilan mata dengan pendahulu liga, Liverpool.