PROGRAM pembangunan antara keutamaan yang mahu ditekankan Dato’ Mohd Sumali Reduan sekiranya diberi mandat sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) itu berkata, komitmennya adalah untuk memastikan kesinambungan program pembangunan sukan dapat dilaksanakan secara konsisten, selain memperjuangkan keperluan atlet dan persatuan sukan di bawah naungan MOM.
“Jika diberi peluang, saya mahu membawa suara pembangunan sukan ke peringkat lebih tinggi.
“Perkara ini bukan hanya melibatkan sepak takraw, tetapi semua sukan yang memerlukan perhatian khusus dari segi fasiliti, program pembangunan dan kebajikan atlet,” katanya ketika ditemui selepas sesi pelancaran Program Pembangunan Sepak Takraw Nasional (NSTDP).
Tambahnya, pelaksanaan NSTDP sejak 2022 merupakan contoh hala tuju yang jelas dalam membina ekosistem sukan yang kukuh, terutama dalam melahirkan lebih ramai pemain berkelas dunia.
Beliau turut menekankan bahawa aspek pembangunan atlet wanita juga tidak akan dipinggirkan, dengan perancangan membuka lapan pusat latihan khas untuk pemain wanita dalam sukan sepak takraw.
Sekiranya diberi peluang menyandang jawatan tersebut, beliau juga bertekad untuk memperjuangkan pembinaan fasiliti bertaraf antarabangsa seperti Akademi Sepak Takraw Negara, demi menyediakan persekitaran latihan yang terbaik untuk atlet.
“Dengan sokongan semua pihak, saya percaya kita mampu bawa sukan tradisional dan sukan lain ke peringkat lebih tinggi. Saya sedia bantu Presiden MOM serta persatuan lain dalam memperkasakan lagi peranan Majlis Olimpik Malaysia,” katanya lagi.