KETUA Jurulatih Interim Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Victor Andrag optimis meskipun mengakui cabaran besar menanti pasukannya dalam pertemuan separuh akhir MFL Challenge Cup menentang PDRM FC pada Sabtu.

Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam aksi timbal balik yang dijangka sengit, dengan Kedah memulakan saingan di tempat lawan.

Victor menyifatkan PDRM FC sebagai pasukan yang sangat komited, terutama dengan kebergantungan sepenuhnya kepada pemain tempatan yang menunjukkan semangat juang tinggi di atas padang.

“PDRM adalah pasukan yang sangat komited, ditambah pula dengan sumbangan pemain import mereka. Dari segi kecergasan, mereka konsisten kerana kerap bermain sebagai satu unit yang kukuh,” katanya.

Mengulas persiapan pasukan, Victor menjelaskan terdapat beberapa pemain utama yang masih bergelut dengan kecederaan.

Antaranya, Syafiq Ahmad yang menjalani rawatan harian tetapi belum pulih sepenuhnya.

“Pemain seperti Syafiq masih menjalani rawatan dan tidak berada pada tahap kecergasan terbaik. Ini menyebabkan mereka bermain dengan berhati-hati, yang sedikit sebanyak mempengaruhi prestasi pasukan,” jelasnya.

Dia turut menegaskan bahawa keputusan kesebelasan utama hanya akan dimuktamadkan pada saat akhir berdasarkan keadaan pemain.

Victor mengakui bahawa pasukannya menghadapi cabaran besar dengan kekurangan pemain import serta kecederaan yang mengganggu perancangan.

Namun, dirinya percaya kepada keupayaan pemain-pemain tempatan untuk memberikan persembahan terbaik.

“Kami telah merancang strategi yang khusus untuk perlawanan ini, tetapi ia bergantung kepada situasi di atas padang nanti. Apa yang penting, kami berharap semua pemain bersedia dan memberikan aksi terbaik,” ujarnya.

Victor mengendalikan sesi latihan terakhir skuadnya di Alor Setar.

Victor turut menekankan kepentingan kekuatan pertahanan dan ketajaman serangan untuk memastikan Kedah mencatat keputusan positif.

“Dalam situasi ini, semua pemain perlu memainkan peranan, bukan hanya empat pemain pertahanan. Pasukan perlu bertindak sebagai satu unit, terutama apabila kehilangan bola,” katanya sambil menyatakan keyakinannya terhadap pemain tempatan untuk menggalas tanggungjawab besar ini.

Mengulas sasaran perlawanan, Victor berkata pasukannya akan cuba mendapatkan keputusan positif sebagai bekalan menjelang aksi timbal balik di laman sendiri.

“Kami tahu cabaran yang menanti, tetapi kami akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa pulang hasil yang positif. Apa yang penting, kami tidak boleh dibolosi,” tegasnya.

Victor turut memberikan pujian kepada pemain dan kakitangan sokongan atas komitmen mereka sepanjang musim.

“Kejayaan kami berada di separuh akhir ini adalah hasil usaha semua pemain dan pasukan sokongan. Saya sangat menghargai pengorbanan dan kerja keras mereka,” katanya.

Perlawanan pertama separuh akhir antara PDRM FC dan Kedah Darul Aman FC dijangka berlangsung dengan penuh debaran.

Semua mata tertumpu kepada bagaimana Kedah, dengan segala cabaran yang dihadapi, mampu mengubah latihan intensif mereka menjadi keputusan di atas padang.

FOTO : KDA FC