KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin tampil menjawab persoalan peminat berkenaan isu tunggakan gaji yang dikhabarkan melanda kelab bola sepak tersebut.
Menurut sumber kepada FLASH SUKAN semalam, terdapat laporan bahawa sebuah pasukan utara tanah air, Perak FC menghadapi tunggakan gaji setengah bulan untuk para pemain dan stafnya.
Perkara ini telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan peminat setia Perak FC, yang bimbang akan kestabilan kewangan dan pengurusan kelab kesayangan mereka.
Bobie mengesahkan bahawa memang terdapat sedikit kelewatan dalam pembayaran gaji para pemain dan staf kelab.
“Betul,” ujarnya ringkas menjawab soalan daripada Azizul Hakim di Facebook.
Beliau juga menjelaskan bahawa pihak pengurusan Perak FC sedang berusaha keras untuk mengatasi masalah ini.
Dalam masa yang sama, Bobie tidak menafikan bahawa cabaran kewangan adalah sesuatu yang lazim dihadapi oleh banyak kelab bola sepak di Malaysia, termasuk Perak FC.
“Jualan jersi dan produk lain seperti simkad adalah antara usaha kami untuk meningkatkan pendapatan kelab,” ujarnya.
Beliau turut menyebut bahawa masalah tunggakan gaji bukanlah sesuatu yang unik kepada Perak FC sahaja.
“Kelab lain seperti Kedah, Pahang, Sabah, dan Kuala Lumpur lagi banyak tertunggak,” tambah Bobie.

Peminat Perak berharap isu gaji tidak mengganggu kelancaran pasukan The Bos Gaurus musim ini.
Para peminat kini berharap agar masalah kewangan ini tidak menjadi barah kepada The Bos Gaurus, seperti yang dialami oleh beberapa kelab lain.
Mereka juga berharap agar pengurusan kelab dapat mencari jalan penyelesaian yang berkesan dan segera.
Dengan sokongan padu daripada peminat setia, pihak penaja, dan usaha keras daripada pihak pengurusan, Perak FC berharap dapat mengatasi masalah tunggakan gaji ini dan terus maju ke hadapan dalam arena bola sepak Malaysia.