BEKAS penyerang Manchester United dan ikon bola sepak Scotland, Denis Law telah meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Law mencatatkan 237 gol dalam 404 penampilan bersama United sepanjang 11 tahun kariernya di Old Trafford dari 1962 hingga 1973.

Dia kini menduduki tempat ketiga sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang masa kelab, di belakang Wayne Rooney dan Bobby Charlton.

“Dengan berat hati kami mengumumkan bahawa ayah kami, Denis Law, telah meninggal dunia. Dia telah berjuang dengan gigih, tetapi kini berada dalam kedamaian,” kata keluarga dalam satu kenyataan pada Jumaat seperti yang dilaporkan oleh AFP.

Sebagai pemain antarabangsa, Denis Law tampil sebanyak 55 kali untuk skuad kebangsaan Scotland, dengan debutnya pada usia 18 tahun pada tahun 1958. Dia juga berkongsi gelaran penjaring terbanyak sepanjang masa untuk Scotland dengan 30 gol, bersama Kenny Dalglish.

Semasa bersama The Red Devils, Law membantu kelab memenangi gelaran Divisyen Pertama pada tahun 1965 dan 1967.

“Beliau akan sentiasa dikenang sebagai salah seorang pemain terhebat dan paling disayangi dalam sejarah kelab ini. Kebolehan menjaringkan golnya yang luar biasa, bakat, semangat, serta kecintaannya terhadap permainan bola sepak menjadikannya seorang wira untuk generasi ini.

“Ucapan takziah kami yang mendalam disampaikan kepada keluarga Denis dan ramai sahabatnya. Memori tentangnya akan kekal hidup selama-lamanyai,” tulis Manchester United dalam kenyataan rasmi mereka.

Denis Law memulakan karier profesionalnya di Huddersfield Town pada tahun 1956. Selepas empat musim, sebelum berpindah ke Manchester City.

Walau bagaimanapun, Law hanya bertahan selama satu musim sebelum berpindah ke Torino, Itali, dengan nilai perpindahan yang dianggap luar biasa pada masa itu. Namun, selepas hanya semusim di Itali, dia kembali ke England dan menyertai MU pada tahun 1962, di mana mencipta legasi yang kekal sepanjang zaman.