MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan perancangan menubuhkan Dana Amanah Sukan yang dilihat mampu mengubah lanskap pembiayaan sukan negara secara total.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, menjelaskan dana itu bukan sekadar simpanan jangka panjang tetapi platform berstruktur yang bakal “menggoda” sektor swasta melalui insentif luar biasa.

Antara insentif yang dikaji termasuk pelepasan cukai berganda kepada syarikat yang menyumbang, malah sistem pulangan nilai yang memberi manfaat berganda kepada penyumbang juga sedang dirangka.

“Kita tak boleh minta derma kosong, kena ada pulangan… barulah korporat buka mata dan hulur bantuan secara konsisten,” katanya, dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif MOM, hari ini.

Menariknya, cadangan beliau adalah dana dijanjikan bebas politik, ditadbir profesional dan dipantau sebuah Lembaga Pemegang Amanah bagi memastikan ketelusan serta integriti sentiasa terpelihara.

Model terbaik akan dibangunkan hasil perundingan bersama firma profesional dan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya suku pertama tahun depan.

Lebih manis, inisiatif ini bakal disusuli pembinaan ibu pejabat baharu MOM sebagai simbol permulaan era profesionalisme baharu dalam pengurusan sukan tanah air.