PASUKAN JDT Racing Team tiba di Litar Antarabangsa Mandalika Pertamina, Lombok dengan semangat yang tinggi dalam dua misi utama yang menjadi fokus pasukan dalam Kejuaraan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 hujung minggu ini.
Kesemua krew bekerja keras untuk mendapatkan setup terbaik buat Hafizh Syahrin yang kini mendahului senarai pelumba dalam kategori ASB1000 dan mempertahankan kedudukan itu bakal menjadi misi utama pasukan minggu ini.
Prinsipal pasukan, Steven Tan mengakui pasukannya itu turut mengintai peluang untuk mengambil alih kedudukan pendahulu keseluruhan kategori pengeluar di mana JDT Racing Team dengan jentera Ducati Panigale V4R kini ditangga kedua.
“Pasukan sudah tiba dengan selamat di Lombok pada Selasa dengan kesemua krew berada dalam keadaan bersemangat untuk mengharungi perlumbaan hujung minggu ini.
“JDT Racing Team kini sedang mendahului kategori pelumba oleh itu banyak mata yang memandang ke arah kami yang mana sedikit sebanyak menambah tekanan dalam pasukan tidak seperti perlumbaan sebelum ini.
“Sasaran kami sejak hari pertama tetap sama iaitu memperbaiki prestasi kami sebagai satu pasukan dan memastikan kami sentiasa fokus untuk mendapatkan setup yang paling bagus untuk jentera Hafizh,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Hafizh Syahrin tampil sebagai pendahulu keseluruhan di Mandalika
Steven turut menjelaskan bahawa penglibatan Hafizh dalam perlumbaan Suzuka 8 Hours banyak membantu pelumba itu untuk memahami jentera Ducatinya dan ini bakal membantunya dalam perlumbaan minggu ini.
“Perbezaan dalam perlumbaan kali ini adalah Hafizh dan pasukan kini lebih memahami kehendak jentera Ducati oleh itu lebih mudah buat krew melakukan setup selain Hafizh sendiri mempunyai pengalaman berlumba di Mandalika.
“Kami akan bekerja keras dan lakukan yang terbaik untuk mencapai podium dalam kedua-dua perlumbaan untuk menamatkan pusingan ini di tempat teratas kategori pelumba dan mungkin juga kategori pengeluar,” jelasnya.

Selepas berakhir tiga pusingan, Hafizh Syahrin kini mendahului kategori ASB1000 dengan 81 mata, lima mata dihadapan seorang lagi pelumba Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan TKKR Racing manakala pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar di tangga ketiga dengan 75 mata.