PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menghormati keputusan Christopher Raj untuk meletakkan jawatannya sebagai pengurus pasukan Bawah 17 Tahun kebangsaan susulan kegagalan skuad berkenaan layak ke Piala Asia B17 2025.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan, ia selepas mengambil kira rasa tanggungjawab oleh Exco FAM itu yang telah memegang jawatan pengurus pasukan dalam dua kejohanan Kelayakan Piala Asia B17 selepas dilantik pada November 2021.
“Benar Christopher telah melepaskan jawatan sebagai pengurus pasukan B17 kebangsaan dan Sekretariat Agung FAM telah pun menerima surat peletakan jawatan tersebut pada Isnin. FAM menerima dan menghormati keputusan yang dibuat olehnya.
“Untuk pengetahuan juga, Sekretariat Agung FAM telah meminta Christopher, ketua jurulatih B17 dan B20 kebangsaan serta Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell menghantar laporan pasukan secepat mungkin untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM untuk ‘post mortem’ dan diperhalusi,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar.
Dalam perkembangan lain, Noor Azman juga menjelaskan mengenai pemilihan Laos sebagai lawan skuad Harimau Malaya bagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada November ini, selain pasukan India.
“Kita harus tahu bahawa 18 pasukan terbaik dari Asia sudah ada jadual masing-masing sehingga tahun depan iaitu menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
“Malah, Pau Marti selaku ketua jurulatih juga membuat keputusan untuk tidak mengatur perlawanan persahabatan menentang empat pasukan iaitu Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste kerana mereka berada dalam satu kumpulan dengan kita pada Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 Disember ini,” ujarnya.

Noor Azman turut menambah, sama seperti aksi menentang New Zealand dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada bulan Oktober sebelum ini, Pau Marti yang memutuskan pasukan lawan bagi aksi persahabatan bulan Oktober dan November.
“Pau Marti sendiri yang ingin menentang satu kelab (Auckland FC) pada bulan Oktober. Ini kerana dia mahu mendapatkan perlawanan menentang pasukan negara yang berada dalam ranking lebih tinggi dan kompetitif tetapi tiada pasukan negara yang sesuai pada ketika itu.
“Pada masa sama, Pau Marti juga akan memutuskan pasukan manakah yang akan dihantar beraksi pada Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 nanti dengan perlawanan menentang Laos dan India ini adalah persiapan terakhir dalam menyediakan pasukan ke kejohanan itu,” jelasnya.