PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub tampil menafikan dakwaan kononnya hanya skuad utama Harimau Malaya diberi keutamaan, sambil menegaskan bahawa semua pasukan kebangsaan, termasuk skuad wanita dan pelapis, mendapat layanan serta perhatian yang sama rata.
Beliau memberi jaminan bahawa tiada sebarang unsur pilih kasih dalam struktur FAM, malah sebagai presiden, beliau sendiri kerap turun padang untuk memastikan setiap skuad menerima sokongan dan kemudahan sepatutnya.
“Saya boleh beri jaminan sebagai presiden, setiap lapisan pasukan tidak kira skuad B-23 atau pasukan lain mendapat layanan yang sama rata,” katanya.
Penjelasan itu hadir selepas prestasi hambar skuad Harimau Muda dalam Piala ASEAN B-23 baru-baru ini menimbulkan keraguan dalam kalangan peminat, yang mempersoalkan sejauh mana FAM benar-benar memberi perhatian kepada pembangunan skuad pelapis.
Joehari bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan skuad senior hari ini tidak akan bermakna tanpa kesinambungan kukuh daripada barisan muda, justeru pembangunan menyeluruh dari akar umbi ke peringkat senior kekal menjadi keutamaan FAM.