KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menegaskan isu denda FIFA terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan penggantungan tujuh pemain Harimau Malaya bukan perkara kecil yang boleh dipandang ringan.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, keutamaan kini adalah memastikan FAM melengkapkan proses rayuan perundangan di FIFA dan peringkat antarabangsa sehingga selesai sepenuhnya.

Menurut beliau, kesan daripada keputusan FIFA itu bukan hanya menjejaskan tujuh pemain terbabit, malah turut memberi impak besar kepada keseluruhan skuad kebangsaan.

Tujuh pemain naturalisasi baharu yang terkait isu penggantungan FIFA terlibat dalam dua perlawanan antarabangsa sebelum ini.

“Seperti ribuan penyokong Harimau Malaya lain, saya juga kecewa dan marah membaca keputusan FIFA ini, namun kita tidak boleh terburu-buru menghukum sebelum proses rayuan dimuktamadkan,” katanya.

Hannah menegaskan semua pihak perlu memastikan proses rayuan ini dijalankan dengan penuh integriti dan ketelusan demi menjaga nama baik Malaysia.

Beliau juga memberi jaminan KBS akan terus komited melindungi hak serta kebajikan setiap atlet negara tanpa mengira latar belakang atau nama.

“Tidak kira sama ada anda Azizul, Pearly, Thinaah, Pandelela, Gabriel atau Rodrigo, tanggungjawab saya adalah memastikan semua atlet Malaysia dilindungi dan dibela sewajarnya,” katanya.