PASUKAN Kuala Lumpur City FC meneruskan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super 2024 apabila membelasah Kedah Darul Aman FC 5-0 pada aksi perlawanan ke-10 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Kapten KL City, Paulo Josue, menjadi wira pasukan apabila berjaya memecahkan rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab dengan 69 gol, mengatasi legenda Fandi Ahmad yang sebelum ini memegang rekod 67 gol.

Jovan Motika membuka jaringan pertama untuk KL City malam ini hasil lorongan cantik Zafri Yahya di celah pertahanan kedah.

Kedah yang berdepan krisis dalaman hanya menurunkan pemain Bawah 23 dan tanpa pemain import, menyebabkan mereka sukar menandingi KL City yang tampil lebih dominan sejak awal permainan. Perlawanan diadili oleh pengadil Usail Jamal, dan jurulatih Kedah, Nafuzi Zain, menyaksikan pasukannya bergelut menahan serangan bertubi-tubi daripada pasukan tuan rumah.

KL City mula memberikan tekanan seawal minit ke-4 apabila sepakan penjuru yang diambil hampir menghasilkan gol, namun tandukan Giancarlo Gallifuoco tersasar di sebelah kiri gawang Kedah.

Kedah, yang berada dalam keadaan tertekan, tampak buntu berdepan serangan agresif KL City.

Pada minit ke-13, Jovan Motika membuka tirai jaringan untuk KL City selepas menerima lorongan cantik daripada Zafri Yahya, memecahkan benteng pertahanan Kedah.

Kedah cuba bangkit dengan serangan melalui Afiq Ikmal pada minit ke-17, tetapi percubaan beliau dihadang oleh pertahanan KL City setelah penjaga gol, Azri Ghani, gagal menangkap hantaran udara dengan kemas.

Minit ke-22 menyaksikan tandukan Paulo Josue terkena kaki pemain Kedah, Hazrie Balqief Zulhadi, dan masuk ke gawang sendiri.

Zafri Yahya terus menyumbang kepada kejayaan pasukan apabila menyempurnakan sepakan percuma dari jarak 40 meter pada minit ke-24 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Kedah kelihatan hilang arah dan hanya mampu bertahan sehingga tamat separuh masa pertama dengan KL City mendahului selesa.

KL City tidak perlu menunggu lama untuk menambah jaringan selepas babak kedua bermula, pada minit ke-48, Paulo Josue menjaringkan gol hasil gerakan one-two yang cantik bersama Declan Lambert, bermula daripada hantaran memecah pertahanan oleh Kenny Pallraj. Gol ini menyaksikan Josue memecahkan rekod Fandi Ahmad sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman KL City dengan 68 gol.

Serangan bertali arus KL City terus memberi tekanan kepada barisan muda Kedah. Minit ke-57, Josue mencatatkan gol kedua peribadinya malam ini, dan gol kelima buat KL City, apabila dia menerima hantaran daripada Jovan Motika dan melepaskan rembatan kencang ke sebelah kanan gawang Kedah.

Kenny Pallraj menerima kad kuning pada minit ke-60 selepas terjahan keras dari belakang terhadap pemain Kedah.

Selepas itu, KL City mula memperlahankan rentak permainan, memberi ruang kepada pemain simpanan untuk masuk menggantikan pemain utama yang direhatkan.

Pada minit ke-84, KL City hampir menambah jaringan apabila hantaran Gallifuoco tepat kepada Suhaimi Abu, namun rembatan Suhaimi tersasar jauh dari gawang Kedah.

Kedah juga berpeluang membuka akaun jaringan mereka pada minit ke-87, namun percubaan cantik oleh Adam hanya melewati palang gol KL City.

Zafri Yahya antara arkitek KL City untuk perlawanan malam ini dan menyumbang gol menerusi sepakan percuma di minit ke-24 perlawanan.

Wisel penamat ditiupkan dengan keputusan akhir 5-0, menyaksikan KL City FC mengukuhkan kedudukan mereka dalam saingan Liga Super, manakala Kedah perlu segera mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki prestasi pasukan mereka.

Dengan kemenangan ini, Paulo Josue kini mencatatkan 69 gol untuk KL City, sekali gus mencipta sejarah baharu buat kelab.