REAKSI berbeza jelas ditunjukkan oleh dua pengendali, Penang FC dan Kuala Lumpur City FC selepas terikat 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Khamis.
Pengendali Penang FC, Manzoor Azwira bersyukur kerana berjaya menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut dalam liga dan memuji semangat juang pemain-pemainnya yang bangkit selepas ketinggalan pada minit awal perlawanan.
“Bersyukur dapat satu mata tetapi agak kecewa kerana harapkan tiga mata. Kami cuba menyerang dan mengasak KL City kerana mereka adalah pasukan yang bagus dan dalam momentum yang baik. Kami cuba menekan sejak awal dan itu juga punca kami kena serangan balas kerana asyik menyerang dan leka hingga kena serangan balas.

“Saya puji semangat pemain yang cuba mencari gol penyamaan dan akhirnya berjaya. Satu mata selepas tiga perlawanan tanpa mata dan gol adalah satu permulaan yang baik untuk pusingan kedua,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Sementara itu pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak berang dengan kesilapan yang dilakukan pemainnya dan menganggap sebagai pasukan yang berpengalaman, perkara ini tidak seharusnya berlaku.
Malah Hodak menganggap kad merah yang diterima pertahanan, Giancarlo Gallifuoco sebagai tidak bijak hingga menyebabkan pasukannya terpaksa bermain secara bertahan pada 10 minit terakhir demi mempertahankan satu mata.

“Kami memulakan permainan dengan baik dan mendahului serta mencipta beberapa peluang dengan dua gol dibatalkan. Kami bermain baik separuh masa pertama sehingga lima minit terakhir apabila masalah konsentrasi yang berlaku dalam beberapa perlawanan sebelum ini berulang dan kami melepaskan gol pada minit ke-45 yang tidak bagus untuk pasukan berpengalaman seperti kami tetapi perkara pelik berlaku.
“Separuh masa kedua juga kami bermain baik sehingga kad merah yang boleh saya katakan sebagai tidak bijak kerana sebelum itu kami bermain secara berani, mengawal segalanya, memenangi bola tetapi kad merah menyebabkan sepuluh minit terakhir kami terpaksa bersaing untuk mempertahankan satu mata.
“Saya terpaksa gembira dengan satu mata selepas percubaan terakhir Penang tidak masuk dan selepas apa yang terjadi dalam perlawanan ini, keputusan seri adalah adil,” kata Hodak dalam sidang media yang sama.

Perlawanan yang berlangsung rancak di hadapan hampir 1500 orang penyokong itu menyaksikan Tchetche Kipre meletakkan KL City di hadapan pada minit ketujuh perlawanan sebelum Giovanni Gomez memberikan keceriaan buat pasukan Harimau Kumbang menerusi jaringan pada tambahan masa babak pertama.
Aksi rancak itu juga mengundang padah apabila dua pemain dilayangkan kad merah akibat melakukan kekasaran dan perlawanan berakhir dengan 10 pemain buat kedua-dua pasukan selepas Rahmat Makasuf dan Giancarlo Gallifuoco diperintahkan keluar padang oleh pengadil perlawanan.
Keputusan seri itu meletakkan Penang FC kekal di tangga kesepuluh dengan 15 mata manakala KL City juga kekal di tangga keenam dengan 23 mata selepas berakhir 14 perlawanan.