EKSKLUSIF
BERPEWATAKAN tenang, dan memiliki ‘jiwa pemikir’ yang ada pada diri Bassam Adeel Jaleel,membuktikan dia sememangnya layak menerajui kepimpinan bola sepak negaranya, Maldives.
Bassam, 38, lahir di kota Male pada 21 November 1983, muncul sebagai presiden persatuan bola sepak (FA) paling muda dalam sejarah dunia, apabila kali pertama dilantik memegang jawatan itu pada usia 32 tahun, kira-kira enam tahun lalu.
Lahir dalam keluarga yang terlibat secara langsung dalam politik. Datuk saudaranya Maumoon Abdul Gayoom adalah Presiden Maldives sekitar 1978 hinga 2008, manakala bapa saudaranya Abdulla Yameen Abdul Gayoom pula menjadi Presiden negara kepulauan itu pada 2013 hingga 2018.
Justeru, tidak hairan jika Bassam memiliki sifat kepimpinan yang tinggi sehingga dipilih menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Maldives (FAM) seawall usia 32 tahun.
Pemegang Ijazah Kesusateraan dan Pentadbiran Perniagaan, dari Universiti HELP di Malaysia ini, didedahkan kepada dunia bola sepak sejak kanak-kanak lagi.
Dia terpilih mewakili skuad kebangsaan Bawah-19 tahun (B19) dan skuad utama Maldives.
Malah bapanya, Adeel Jaleel juga antara salah seorang pelopor penubuhan Kelab Valencia, sebuah kelab ternama di negara itu.
Mengukuhkan lagi DNA Bassam dalam kepimpinan bola sepak, beliau turut bermain mewakili Kelab Valencia sebelum dilantik sebagai Naib Presiden kelab itu.
Sesuai latar belakang pengajiannya dalam pentadbiran perniagaan,beliau pernah berkerja di Bank Pusat Maldives yang dikenali sebagai Maldives Monetary Authority, sebelum bermula kerjaya gemilangnya dalam pengurusan bola sepak.
“Saya sendiri penah bermain untuk Valencia selama dua tahun sebelum bersara selepas mengalami kecederaan “anterior curiate ligament” (ACL). Selepas itu saya bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Bola Sepak Maldives dan ditugaskan di kelab Valencia (2005-2008) sebelum melanjutkan pelajaran di Malaysia selama tiga tahun bermula pertengahan 2008,” kata Bassam kepada FLASH SUKAN.
Bassam kembali berkerja untuk FA Maldives sebagai Penolong Pengurus Kewangan sekitar 2010-2014, dalam masa sama dilantik sebagai Naib Presiden (2012-2014).
Pada 2014 hingga November 2016, Bassam menjadi Setiausaha Agung FA Maldives, sebelum menjawat jawatan Presiden bermula penghujung 2016 hingga sekarang, apabila dipilih buat kali kedua menerajui kepimpinan tertinggi bola sepak negara itu.
Lahir di sebuah negara yang cukup tersohor dalam peta pelancongan, Maldives sebuah negara kepulauan yang mempunyai 1,196 pulau itu, tidak perlu diperkenalkan lagi.
Namun jika berbicara soal bola sepak, negara itu masih ketinggalan jauh dan cetek pengalaman di pentas antarabangsa.
Justeru, dengan ‘jiwa muda’ serta darah kepimpinan yang mengalir dalam dirinya, Bassam mempunyai visi jelas untuk membawa Maldives ke kedudukan yang jauh lebih baik.
Pasukan bola sepak negara itu pernah menduduki ranking ke-124 dunia pada 2006, namun ketika ini berada di ranking ke-156 dunia.

Pasukan Maldives kini berada di ranking ke- 156 dunia.
Pelbagai dirancang pasukan Bassam baik dari segi pembangunan pasukan menyeluruh sehingga perancangan perlawanan antarabangsa.
“Bagi saya, makna kejayaan adalah dari program pembangunan. Sebaik saya menjadi presiden, fokus utama saya adalah membangunkan generasi muda malah tahun pertama saya di kedudukan ini, kami mulakan dengan pengwujudan liga remaja dan membentuk pasukan kebangsaan yang terdiri daripada pemain muda.
“Pada 2018, kami merombak keseluruhan pasukan kebangsaan dan mula menghantar pasukan bawah 23 tahun beraksi di kejohanan serantau (Asia Selatan) iaitu SAFF Suzuki Cup dan kami menjuarainya,” kata Bassam.
Pasukan negara itu kali pertama menjuarai SAFF Suzuki Cup pada 2008.
Katanya, dalam memajukan bola sepak, dia perlu mengambil risiko dan Tindakan beraninya mempercayai bakat muda membuahkan hasil.
Jelasnya, menjelang suku pertama tahun hadapan, negara itu akan mempunyai tambahan dua stadium lagi.
“Ketika ini kami sudah memiliki empat stadium manakala sebuah lagi stadium baru beroperasi di sebuah pulau yang jaraknya sangat hampir dengan tanah besar dan bandar Male.
“Kami mula membina infrastruktur termasuk sekolah sukan yang akan menempatkan pelajar berusia 12 hingga 17 tahun di asrama yang mampu memuatkan 100 atlet pada satu-satu masa. Remaja ini akan dibekalkan dengan Pendidikan akademik yang berkualiti serta menjalani latihan yang dipantau pakar,” katanya.
National team departs to Brunei to play two international friendlies. Wishing them a safe journey 🇲🇻🙏🏽 pic.twitter.com/BiLAQ1tONA
— Bassam Adeel Jaleel (@bassam_jaleeI) September 18, 2022
Menurut Bassam, kerajaan sangat menyokong pembangunan sukan bola sepak negara itu dan pada 2018, Menteri Sukan Maldives, Iruthisham Adam mengumumkan peruntukan AS$ 1 juta (RM4.72 juta) untuk fasa pertama pembangunan infrastruktur serta kerajaan menganugerahkan tanah seluas 230,000 kaki persegi untuk tujuan pembangunan projek itu.
Katanya, program pembangunan bola sepak akar umbi itu dilakukan menerusi jalinan kerjasama dengan lagenda bola sepak Sepanyol.
“Ini adalah projek pembangunan bola sepak terbesar dan kita jalin Kerjasama dengan lagenda Sepanyol, Michel Salgado. Justeru, akademi yang bola sepak kami dipantau terus Salgado menerusi kelabnya Real Hispania FC. Kita sasarkan tamat latihan, pemain muda ini akan terus menerima kontrak sebagai pemain professional.
“Bagi fasa pertama, projek ini akan fokus kepada 18 sekolah bola sepak (akademi) di seluruh Maldives.”
Dalam usaha membawa bola sepak Maldives ke tahap jauh lebih tinggi dan dihormati, Bassam secara berterusan melakukan reformasi dengan menegaskan negara itu perlu memiliki jurulatih tempatan yang bertauliah.
Katanya, sebaik sahaja presiden presiden penggal pertama pada 2016, Maldives tidak mempunyai walau seorang jurulatih yang bertauliah.
“Tapi kini kami sudah ada dua jurulatih yang memiliki lessen bertaraf Profesional dan tiga lagi sedang mendapatkannya. Kami juga sudah memiliki ramai jurulatih yang memegang lessen Kelas B dan C.
“Malah ketika ini, kami sedang melahirkan jurulatih yang mempunyai lessen Kelas D di seluruh negara kerana saya percaya, dengan adanya jurulatih bertauliah, program pembangunan akan lebih mudah dilakukan,” katanya.
Tambah Bassam, setakat ini, program pembangunan juga sudah menampakkan hasil apabila pemain remaja mereka membawa pulang pingat emas pada saingan serantau tahun 2019.
Malah keberadaannya di Malaysia juga berkait rapat dengan usaha pembangunan bola sepak iaitu beliau cuba menjalin Kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bassam memandang Malaysia mempunyai liga yang bagus malah sering berkerjasama dalam perlbagai program pembangunan yang dirancangnya.
Katanya, pemain kebangsaan negara itu, Ali Ashfaq pernah diberi peluang beraksi di Liga M sebagai pemain import sekitar 2014.
“Memasuki penggal kedua kepimpinan saya sebagai Presiden FAM, sasaran kami sudah berubah dan tidak lagi terarah kepada SAFF, sebaliknya kami mahu mencapai tahap beraksi di Piala Asia. Jadi kami merancang untuk membangunkan pasukan yang boleh membawa aspirasi ke Piala Asia,” katanya, memandangkan skuad bola sepak negara itu tidak pernah melepasi pusingan kelayakan untuk ke Piala Asia.

Sambutan Maldives bergelar juara Kejuaraan SAFF 2008. Foto: Twitter Maldives Team
Bagi merealisasikan hasrat itu, dia kini berusaha memastikan lebih banyak kelab dari pulau-pulau kecil menyertai liga.
Malah menurutnya, Liga Premier Maldives ketika ini membabitkan lapan pasukan bertanding akan diubah kepada 12 pasukan mulai 2024.
“Kita sukar mendapatkan pemain dari pulau-pulau dan kami sedang berusaha meningkatkan lagi bakat dari pulau-pulau untuk menyertai liga bola sepak. Kebanyakan pemain
yang ada dalam pasukan 95 peratus adalah dari pulau dan bukannya tanah besar.
“Setakat ini, kita berjaya libatkan 95 pulau dalam saingan liga yang kita pecahkan kepada empat region dan setiap region mempunyai Liga Premier, Divisyen 1, Divisyen 2 dan Divisyen 3, dan pusingan kelayakan sedang berlangsung ketika ini.
“Untuk masa akan datang, kami sasarkan lebih daripada 95 pulau mengambil Bahagia,” kata Bassam.