KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS), melancarkan direktori fasiliti sukan yang menyenaraikan inventori kemudahan dimiliki dan dikendalikan kementerian terbabit.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata ia bagi membolehkan orang ramai mengakses direktori fasiliti sukan dan membuat carian senarai sedia ada mengikut lokasi dan jenis sukan berbeza.

Menurut beliau, kini terdapat 1,135 fasiliti yang disenaraikan di laman web KBS yang boleh dicapai di www.kbs.gov.my/home-fasiliti.html.

“Direktori ini diwujudkan bagi memudahkan orang ramai untuk mengenal pasti kemudahan yang bersesuaian dan berdekatan kerana ia akan menyenaraikan fasiliti yang tersedia untuk digunakan orang ramai.

“Ia juga membolehkan pemadanan dilakukan antara keperluan persatuan sukan serta kemudahan yang tersedia untuk digunakan,” katanya, pada sidang media di Menara KBS di sini, pada Selasa.

Tambah beliau, direktori berkenaan disediakan bertujuan untuk mencapai beberapa perkara termasuklah menangani isu kekurangan kemudahan latihan yang dibangkitkan oleh persatuan sukan kebangsaan ketika sesi ‘townhall’ yang diadakan pada 22 dan 23 Disember tahun lalu.

Direktori ini diwujudkan bagi memudahkan orang ramai mengenal pasti kemudahan yang bersesuaian dan berdekatan kerana ia akan menyenaraikan fasiliti yang tersedia untuk digunakan orang ramai. – Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan.

Katanya, ia juga untuk menilai sama ada terdapat percanggahan dalam infrastruktur merentas kawasan Parlimen yang mewujudkan missmatch antara kemudahan dan keperluan mengikut lokasi dan jenis sukan.

“Selain itu, ia untuk menggalakkan penggubal undang-undang untuk menjadi lebih strategik apabila membangkitkan isu infrastruktur di Parlimen dan mengelakkan isu projek pembangunan ad-hoc sebelum ini yang dibina kerana kekurangan perancangan dan membolehkan penggunaaan dana yang sewajarnya untuk pembangunan infrastruktur pada masa hadapan,” katanya.