BERMAIN dengan satu kaki, Liew Daren mengakui terpaksa menahan kesakitan sejak memasuki gelanggang sebelum memenangi perlawanan pertama Petronas Terbuka Malaysia 2023.
Bertuah dapat menyertai kejohanan berstatus Super 1,000, Daren muncul pemain pertama negara turun ke gelanggang, yang disifatkannya mungkin menjadi aksi terakhirnya di Terbuka Malaysia.
“Sukar sangat sebab saya sudah hampir sebulan tidak jalani latihan kerana kecederaan betis yang saya alami ketika melakukan larian sebelum ini.
“Berdepan (Toma Junior) Popov kali ini memang sengit, dia sedang meningkat naik dan saya pula dibelenggu kecederaan.
“Saya rasa yang membezakan kami adalah saya berpengalaman,” kata Daren selepas menewaskan pemain Perancis Toma Junior Popov, 21-15, 14-21, 21-17.

Liew Daren menahan kesakitan sepanjang perlawanan menentang Toma Junior Popov dari Perancis, selepas dibelenggu kecederaan betis kanan.
Daren mengakui hanya bergantung kepada satu kaki (kaki kiri), amat sukar untuknya membuat pergerakan malah dia tidak melakukan lompatan ketika melakukan smash.
Kemenangannya itu membawa kepada pertemuan dengan pemain nombor satu dunia, dari Denmark Viktor Axelsen, Khamis ini.
“Menentang Axelsen… bergantung kepada proses pemulihan, jika esok bertambah teruk sakit, dan Khamis semakin sakit, saya mungkin menarik diri,” kata Daren, yang tidak menolak kemungkinan penampilannya hari ini bakal menjadi yang terakhir di Terbuka Malaysia.
Begitupun, tugasnya tidak ebrakhir kerana masih perlu menjadi jurulatih yang berada di belakang perseorangan utama negara, Lee Zii Jia.
“Pengalaman di gelanggang hari ini, mungkin saya dapat gunakan membantu Zii Jia di pusingan pertama esok, kerana saya sudah memahami pergerakan angin.
“Lawan Zii Jia, Kodai Naraoka dari Jepun bukannya mudah kerana pemain itu meningkat naik dan di prestasi yang baik.”