PEMAIN pertahanan senior Johor Darul Ta’zim (JDT), S.Kunanlan memilih kejayaan menjulang Piala AFC pada 2015 di Tajikistan adalah detik terbaik sepanjang sembilan tahun kariernya bersama Harimau Selatan.

Dia yang mengesahkan musim ini mungkin adalah musim terakhirnya bersama JDT mengakui dia banyak belajar dengan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk membina mentaliti juara dalam dirinya.

“Sepanjang sembilan tahun saya di JDT, saya banyak belajar dengan ketua yang hebat seperti TMJ dan sentiasa bermain untuk menang buat penyokong kerana mentaliti setiap pemain di JDT adalah bermain seperti juara.

“Ini mungkin musim terakhir saya dengan JDT kerana setiap perjalanan akan ada pengakhiran jadi perjalanan saya habis sampai di sini.

“Saya memang berpuas hati dengan perjalanan di JDT dengan banyak kejayaan dan memenangi Piala AFC pada 2015 adalah kejayaan paling besar buat saya,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN ketika sambutan Decade of Dominance JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Kuna turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong JDT yang sentiasa berada di belakang pasukan dan memberikan semangat tambahan buat pemain ketika beraksi.

“Terima kasih kepada penyokong JDT yang sentiasa berada di belakang kelab dan teruskan sokongan anda kepada semua pemain di mana sahaja,” jelasnya.

Kunanlan melakukan 144 penampilan bersama Harimau Selatan dan berjaya menjaringkan dua gol dan memenangi 25 trofi sepanjang sembilan tahun di Larkin dan Iskandar Puteri.