SKUAD UiTM United bimbingan Mohd Yazli Yahya mengukuhkan status mereka sebagai pasukan bola sepak yang berpotensi tinggi sejurus mengesahkan kejuaraan Piala Al-Ikhsan 2023 di Stadium UiTM Shah Alam pada Sabtu lalu.
The Lions yang merupakan pendatang baharu dalam liga Al-Ikhsan berjaya menundukkan pasukan Yayasan Pahang Maintenance (YPM) FC dalam aksi final dengan keputusan 2-1 dan ianya juga menjadi kejayaan yang luar biasa buat UiTM.
Bagi Yazli sendiri, dirinya mengakui bahawa pasukannya melakukan perancangan terperinci dan telah mengkaji dalam semua aspek pihak lawan termasuk taktikal dan corak permainan YPM FC.
“Ianya membuktikan bahawa kejayaan yang dirangkum itu tidak hanya datang bergolek tetapi merupakan hasil daripada kerja keras dan persediaan yang rapi,” katanya selepas perlawanan.
Terdahulu, sebelum memenangi Piala Al-Ikhsan, UiTM United sudah pun mengesahkan tempat mereka dalam Liga M3 setelah mengalahkan pasukan Machan FC dalam separuh akhir sekali gus membuktikan pasukan UiTM mempunyai potensi yang besar dalam dunia bola sepak tempatan.
Jelas, kekuatan skuad UiTM United yang bakal dibarisi oleh pemain-pemain hebat dalam saingan Liga M3 akan diuji pada musim akan datang, namun kemenangan dalam Piala Al-Ikhsan ini cukup membuktikan kegarangan skuad The Lions ini.
Sebanyak 16 pasukan berentap dalam Piala Al-Ikhsan anjuran Liga Bola Sepak Amatur (AFL) bagi merebut dua slot untuk bersaing dalam Liga M3 pada musim hadapan.