BEREGU lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan kecemerlangan di pentas antarabangsa, apabila meraih gelaran kedua-berturut-turut selepas memenangi final Terbuka Arctic, sebentar tadi.
Berdepan pasangan nombor 2 dunia, dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, gandingan yang sudah memenangi dua gelaran tahun ini, meneruskan kejutan di sepanjang kejohanan di Energia Areena, Vantaa, Finland, apabila mengurangkan defisit rekod pertemuan kepada 2-6.
Biarpun berada di ranking kelapan dunia, Sze Fei-Nur Izzuddin tidak menunjukkan tanda-tanda gementar berdepan pilihan kedua kejohanan itu, apabila mencapai kemenangan 15-21, 21-15, 21-19 dalam tempoh 72 minit.
Kejuaraan Terbuka Arctic yang berstatus Super 500 itu, melengkapkan kecemerlangan mereka, selepas memenangi kejohanan Super 1,000 Terbuka China September lalu dan Super 750, Terbuka Jepun pada Ogos.
Kemenangan itu membolehkan mereka membawa pulang hadiah kemenangan RM142,282.
Pasangan itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia bermula 1 September lalu, untuk bergerak secara profesional dan segera meninggalkan impak dengan mengejutkan pasangan utama dunia.