PASUKAN Kuala Lumpur Thunder meraih kejuaran hatrik dalam saingan Sepak Takraw League (STL) Premier apabila mudah menewaskan Selangor Pistons 2-0 (15-10, 15-11) dalam final Grand Prix (GP) Perak di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.

Turun dengan reputasi sebagai juara GP Selangor dan GP Terengganu sebelum ini, KL Thunder jelas tidak memandang mudah cabaran Selangor Pistons apabila menurunkan trio pemain terbaik dalam penentuan gelaran berkenaan.

Gandingan Zarif Merican Ibrahim Merican (tekong), Amirul Zazwan Amir (pengumpan) dan Azlan Alias (perejam) jelas berada di kelas tersendiri untuk mencatatkan kemenangan 15-10 dalam set pertama.

 

Selangor Pistons memberikan tentangan yang lebih baik dalam set kedua tetapi servis drop yang dilakukan Zarif Merican ke sasaran tujuh memberikan mata kemenangan buat KL Thunder untuk sekali lagi bergelar juara.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat, pasukan tuan rumah Perak Bison menebus kekecewaan gagal ke final dengan menewaskan ATM Guardians 2-0 (15-12, 15-11).