JANGAN terus dibelenggu kekecewaan kerana tugasan belum selesai buat skuad hoki lelaki negara yang bersaing dalam Piala Dunia 2023.

Kekalahan kepada Sepanyol di Stadium Kalinga, Bhubaneswar menerusi penentuan penalti shoot out 4-3 Ahad malam menyaksikan Speedy Tigers terlepas peluang memburu kedudukan lebih baik pada kejohanan kali ini.

Perlawanan itu berlangsung sengit namun berkesudahan 2-2 dalam tempoh sebenar perlawanan.

Pemain Sepanyol meraikan kemenangan selepas mengatasi Malaysia 4-3 menerusi penalti shoot out, dalam perebutan slot ke suku akhir pada aksi cross over Piala Dunia 2023 di Stadium Kalinga, Bhubaneswar, India, malam tadi. -FIH/World Sports Pic

Kegagalan mengatasi Sepanyol, sekali gus meletakkan tanda kegagalan buat skuad negara menepati sasaran ditetapkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) iaitu sekurang-kurangnya mara ke suku akhir.

Bagi pengendali, A Arulselvaraj, segala keringat sudah dicurahkan pemain pada perlawanan itu.

“Kecewa… memang kita kecewa kerana kalah menerusi penentuan shoot out. Pemain bermati-matian pada perlawanan itu, bermain dengan maruah tinggi. Kita dapat lihat, selepas ketinggalan 2-1, mereka tetap bangkit memburu gol penyamaan.

“Bagi saya, pemain sudah menunjukkan sesuatu untuk dibanggakan, mereka berdisiplin, dan mempamerkan permainan bertenaga pada suku kedua, ketiga dan keempat,” kata Arul, selepas tamat perlawanan.

Faizal Saari menjaringkan gol pertama perlawanan Malaysia-Sepanyol, namun hajat Speedy Tigers ke suku akhir Piala Dunia 2023, tidak kesampaian apabila tewas penalti shoot out 4-3. -FIH/World Sports Pic

Begitupun, beliau tidak mahu pemain terus dirundung kemurungan dan kekecewaan kerana perjuangan di kejohanan itu belum berakhir dan skuad negara perlu menempuhi beberapa perlawanan lagi, iaitu klasifikasi kedudukan di Piala Dunia 2023.

“Kekecewaan hari ini, akan diselesaikan malam ini juga (malam tadi). Esok adalah hari baharu, cabaran baharu dan kita akan menentang Afrika Selatan pada 26 Januari untuk perlawanan penentuan kedudukan 9 hingga 16,” kata Arul sambil mengharapkan penyokong di tanah air terus memberi sokongan padu kepada skuadnya.

Pemain terakhir negara mengambil penalti shoot out malam tadi, Firhan Ashaari kelihatan tidak dapat menahan kesedihan selepas gagal menjaringkan gol penyamaan, sehingga menitiskan air mata dan terpaksa ditenangkan Arul.

Firhan Ashaari kelihatan kecewa, selepas gagal menjaringkan gol keempat penalti shoot out, sekali gus membolehkan Sepanyol mara ke suku akhir Piala Dunia 2023. -FIH/World Sports Pic

Menentang Sepanyol pada saingan cross over sememangnya peluang buat Speedy Tigers yang kini menghuni ranking kesembilan dunia, manakala pasukan lawan kelapan, menunjukkan kualiti kedua-dua pasukan adalah seimbang.

Sambil mengharapkan skuad ini menamatkan Piala Dunia 2023 di kedudukan kesembilan, kemungkinan besar ranking kesembilan dunia yang diharapkan KHM selepas tamat saingan tidak menjadi kenyataan, selepas pasukan ranking ke-10 dunia, New Zealand mencapai kemenangan ke atas India yang kini di ranking keenam dunia dan mara ke suku akhir.

Pada satu lagi perlawanan cross over antara tuan rumah India dan New Zealand malam tadi, India dikejutkan dengan kekalahan 4-5 kepada New Zealand menerusi penalti shoot out, selepas masa sebenar berakhir dengan kedudukan 3-3.

Justeru, Malaysia akan kembali ke Rourkela, untuk aksi penentuan 9-16, dengan membuka cabaran menentang Afrika Selatan, Selasa ini, manakala India akan menentang Jepun pada hari sama.

Pencapaian terbaik skuad negara di Piala Dunia adalah menduduki tangag keempat pada edisi 1975 ketika menjadi tuan rumah ini adalah penampilan kesembilan skuad negara di kejohanan paling berprestij itu.

Pada dua edisi lalu, 2014 di Belanda, pasukan negara menamatkan saingan di kedudukan ke-12 manakala edisi 2018 di India pula, pasukan negara mengakhiri saingan di kedudukan ke-15.