KETUA jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin mahu anak buahnya tampil dengan aksi konsisten dan berdisiplin dalam usaha memburu podium di Piala Sultan Johor (SOJC) 2025.
Walaupun tidak meletakkan tekanan berlebihan kepada pemain yang bakal beraksi di laman sendiri, Nor Saiful menegaskan tumpuan utama pasukan adalah terhadap prestasi keseluruhan, bukan hanya keputusan di atas kertas.
“Kami tidak mahu pemain terlalu memikirkan menang atau kalah. Fokus kami ialah kepada taktikal, disiplin dan keyakinan diri. Jika semua aspek ini dijaga, keputusan akan berpihak kepada kita,” jelasnya.
Beliau bagaimanapun tetap optimis untuk menamatkan kejohanan di kedudukan podium, menyifatkannya sebagai sasaran realistik berdasarkan potensi semasa pasukan.
“Sasaran kami ialah berada di podium. Ia bukan mudah, tapi ia satu sasaran penting untuk membina semangat juang dan mentaliti pemenang,” tambahnya.
Lima pemain senior berusia 21 tahun disenaraikan dalam skuad kali ini, termasuk Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar dan Muhammad Handzalah Abdul Hadi, di samping sembilan pemain yang beraksi pada edisi lalu.
Sembilan pemain tersebut adalah Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee, Azimuddin Syakir Kamaruddin, Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof, Andywalfian Jeffrynus, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari serta Naaveennash Panicker Thevendran.
Dua pemain paling muda, Iman Faris Faizo dan Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien turut menjadi tumpuan selepas mempamerkan potensi besar sepanjang latihan dan siri pemanas badan.
Nor Saiful menegaskan pemilihan dibuat berdasarkan disiplin, semangat berpasukan dan kemampuan taktikal, sambil menzahirkan keyakinan bahawa skuad kali ini mampu mencipta sesuatu yang membanggakan.
“Kunci kejayaan ialah elak kesilapan dan manfaatkan peluang menjaringkan gol. Saya percaya mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan,” katanya.
Dengan gabungan pengalaman dan bakat muda, skuad remaja negara kini bersedia mencipta impak besar di bumi Johor, pentas yang sering melahirkan bintang masa depan hoki Malaysia.
Sumber Gambar: MHC