PASUKAN benua dari Australia, St George Continental Cycling Team kembali mewarnai saingan Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL) selepas kali terakhir beraksi pada 2023.
Kali ini, tumpuan peminat tempatan pasti terarah kepada pelumba muda Malaysia, Tsen Ren Bao yang berada dalam senarai skuad enam pelumba pasukan St George untuk mengharungi cabaran lapan peringkat.
Anak kepada legenda negara, Tsen Seong Hoong itu mula mencuri perhatian apabila berkayuh bersama skuad kebangsaan tahun lalu dan dianggap antara prospek besar berbasikal lebuh raya negara.
COO PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, kehadiran Ren Bao menjadi faktor utama pihaknya mengundang semula St George, selepas ARA-Skip Capital mewakili Australia tahun lalu.
“Ini bentuk sokongan kami untuk mengembangkan karier Ren Bao kerana dia pelumba generasi baharu yang punya bakat besar,” kata Emir dalam kenyataan.
St George turut membariskan bakat muda seperti Mitchel Fitzsimons, Nate Hadden dan Declan Tresize, selain mempertaruhkan pengalaman Ben Carman dan Daniel Whitehouse.
LTdL edisi ke-29 berstatus 2.ProSeries itu akan bermula di Langkawi pada 28 September ini (Ahad) dan menutup tirai di KLCC pada 5 Oktober, melibatkan jarak keseluruhan 1,244.2 kilometer.