Permata import baru Selangor FC, Zach Clough mengakui mendapat beberapa tawaran lain daripada beberapa kelab di sekitar Asia Tenggara, namun bekas juara 33 Piala Malaysia itumuncul pasukan yang menambat hatinya.
Clough hadir dengan reputasi memberansangkan, memulakan karier bersama kelab Inggeris, Bolton Wanderes, kelab yang pernah berada di Liga Perdana Inggeris pada 2013, kemudian ke Nottingham Forrest selama empat musim sebelum bersama beberapa kelab liga bawahan England dan akhirnya selama tiga setengah musim Bersama Adelaide United di Liga A Australia.
“Saya ke Australia sebelum ini untuk cuba beraksi di mana-mana liga Asia Tenggara. Saya mendapat tawaran beberapa kelab lain di rantau ini namun Selangor memberi tawaran terbaik kepada saya.
“Sebelum ke Malaysia, saya ada beberapa rakan yang pernah bermain di sini dan saya dapati Liga Malaysia ia sebuah liga professional yang baik. Selangor pula adalah pasukan yang tampil sebagai kelab yang hebat dengan sokongan yang kuat dan juga mempunyai perancangan untuk berjaya musim ini serta mencabar di peringkat Asia,” kata Clough ketika ditemui Flash Sukan selepas aksi persahabatan Selangor dan Asian Warriors lalu.
Clough mampu mengisi posisi tengah menyerang serta sayap dan kehadirannya pasti menambah ramuan buat pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mencanang perancangan taktikal terbaik buat pasukan.
Pemain kelahiran Manchester ini mempunyai sasaran mencipta nama di kancah bola sepakAsia kini selepas beraksi di England dan juga Australia sebelum ini. Clough turut menyuarakan kesediaan untuk adaptasi dengan budaya bola sepak Asia.
“Saya mahu terus mengembangkan karier saya di Asia.Bersama Selangor saya mahu beraksi dalam seberapa banyak perlawanan yang boleh, melakukan banyak bantuan gol serta juga jaringan.
“Selangor muncul naib juara musim lalu,ia pencapaian baik. Jadi saya mahu melakar kejayaan bersama Selangor, bersaing dengan pasukan terbaik dan juga di saingan peringkat Asia,” tambah Clough .