PENYERANG import baharu Kuala Lumpur (KL) City FC, Kpah Sherman, bertekad untuk meneruskan rekod gemilangnya yang sentiasa mencatat jumlah jaringan dua angka dalam setiap musim Liga Super sejak 2017. Kini, dengan semangat baharu bersama skuad “Warga Kota”, Sherman mahu memastikan rekod itu kekal sambil membantu pasukan meraih kejayaan.
Walaupun sudah berusia 33 tahun, penyerang antarabangsa Liberia itu menegaskan dirinya masih berada di tahap terbaik untuk bersaing dengan barisan penyerang lain dalam Liga Super. Baginya, usia bukan penghalang selagi disiplin dan fokus terhadap permainan dikekalkan.
“Saya sudah tujuh tahun beraksi di Malaysia, dan setiap musim saya menjaringkan gol dua digit. Saya yakin mampu melakukannya sekali lagi bersama KL City untuk musim ini. Misi utama saya bukan sahaja untuk terus menjaringkan gol, tetapi juga membantu pasukan mencapai sasaran mereka,” ujar bekas penyerang Sri Pahang dan Terengganu FC itu.
Sherman mengakui kehadirannya dalam skuad KL City kali ini lebih mencabar kerana pasukan itu kini dibarisi ramai tonggak import berkualiti serta pemain tempatan berpengalaman. Namun, baginya, persaingan sihat inilah yang mampu melonjakkan prestasipasukan ke tahap lebih tinggi.
“Harapan terhadap KL City musim ini pastinya lebih tinggi. Sebagai pemain profesional, kami perlu menerima tekanan itu dengan positif. Apa yang penting sekarang adalah membinakeserasian di atas padang. Lebih kerap kami bermain bersama, lebih cepat persefahaman itu terbentuk,” tambah Sherman.
Dengan keyakinan tinggi serta pengalaman luas dalam Liga Malaysia, Kpah Sherman kini menjadi antara aset terpenting buat KL City. Penyokong “Warga Kota” pastinya menaruh harapan besar agar ketajaman penyudahnya mampu menjadi senjata utama dalam memburu kejayaan musim ini.
KL City FC bakal menentang Sabah dalam LS2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras pada esok.