BINTANG Manchester City, Bernardo Silva, mengakui dia tergoda dengan kekayaan Liga Pro Saudi, namun memutuskan untuk kekal di Manchester City kerana ‘tidak mahu menyerah’ untuk bermain di peringkat tertinggi bola sepak Eropah.

Pemain berusia 29 tahun itu telah dikaitkan dengan perpindahan ke Negara Teluk musim panas lalu, sambil turut menarik minat pasukan seperti Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona.

Silva akhirnya menandatangani perjanjian baharu yang akan mengekalkannya di Etihad sehingga 2026 tetapi dia telah mendedahkan bahawa minat dari Arab Saudi adalah cukup menarik.

Walau bagaimanapun, peluang untuk terus bermain dalam pertandingan elit Eropah melebihi insentif kewangan yang ditawarkan.

“Bohong jika saya kata saya tidak memikirkannya (tawaran wang besar dari Arab Saudi),” katanya dalam temubual bersama RTP.

“Yang menarik minat saya adalah kehangatan bermain di separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA, mendengar stadium (Etihad) bersorak gembira selepas menjaringkan gol menentang (Real Madrid) di separuh akhir atau ketika kami memenangi perlawanan akhir menentang Inter Milan. Saya tidak mahu menyerah tentang itu,” tambahnya.

Pemain tengah itu telah beraksi sebanyak 55 kali untuk City musim lalu sambil memenangi trofi Liga Juara-Juara UEFA pertama, gelaran Liga Perdana kelima dan Piala FA kedua.

Pemain antarabangsa Portugal itu juga mempunyai 82 caps merupakan pemain tetap semasa kempen Piala Dunia FIFA 2022 mereka.

Silva telah memulakan musim ini dengan prestasi yang mengagumkan, dengan menjaringkan tiga gol dan mencatat tiga bantuan di Liga Perdana ketika City menduduki tangga teratas selepas 12 perlawanan.

Pasukan di bawah kendalian Pep Guardiola ini mengalu-alukan kedatangan Liverpool ke Etihad dalam pertembungan yang menggembirakan ketika liga kembali beraksi pada hujung minggu ini.

Dia telah beraksi dalam setiap daripada 11 pertembungan Liga Perdana terakhir menentang pasukan Liverpool dan telah menjaringkan dua gol serta tiga bantuan dalam empat kemenangan untuk pasukannya.

Foto kredit: Getty Images