SKUAD hoki remaja negara kini berada di fasa terakhir persiapan menjelang Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 yang akan membuka tirainya dari 11 hingga 18 Oktober di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

Malaysia bakal membuka kempen menentang Pakistan sebelum berdepan Australia, New Zealand, Great Britain dan India dalam saingan peringkat kumpulan.

Edisi ke-13 kejohanan berprestij itu menghimpunkan enam pasukan handalan dunia — termasuk juara bertahan Great Britain, serta Australia, India, New Zealand, Pakistan dan Malaysia selaku tuan rumah.

Pengurus pasukan remaja lelaki kebangsaan, Selvendran Saravanamuthu, menyifatkan SOJC sebagai medan penting untuk menilai kekuatan pasukan sebelum menghadapi Piala Dunia Remaja di India hujung tahun ini.

“SOJC sangat penting untuk hala tuju kami ke Piala Dunia Remaja. Pasukan ini telah mendapat pendedahan besar melalui siri kejohanan di China, India, Australia dan perlawanan persahabatan baru-baru ini menentang Bangladesh,” katanya.

Menurutnya, barisan muda negara kini menunjukkan kematangan dan keyakinan tinggi hasil pengalaman berdepan pasukan berkelas dunia.

“Dari segi pendedahan dan persiapan, pemain sudah cukup bersedia. Kami mahu mereka tampil dengan semangat juang tinggi dan berikan saingan terbaik di Johor,” tambah beliau.

Malaysia, juara sulung kejohanan pada 2011, pernah muncul naib juara pada 2013 dan tempat ketiga pada 2015 serta 2019, kini berhasrat untuk kembali berada di podium selepas menamatkan edisi 2024 di tempat keenam.

Sumber Gambar: MHC