SELEPAS Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengesahkan slot ke Olimpik Paris, jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen menaruh harapan untuk merasai nikmat memegang pingat emas, meskipun hanya menumpang kemenangan anak didiknya.

Menurutnya, selepas gagal merasai nikmat beraksi di pentas Sukan Olimpik sebagai pemain, beliau sememangnya teruja mahu memastikan Aaron-Wooi Yik layak dan selepas layak, keinginannya lebih besar di Temasya Paris yang akan bermula 26 Julai hingga 11 Ogos depan.

Sidang media pemain badminton negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Berhubung perasaan saya (ke Olimpik), ini adalah salah satu impian saya juga sejak masuk BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Memang hasrat saya adalah untuk membantu pemain-pemain melayakkan diri beraksi di pentas Olimpik.

“Bagi saya, ini bukanlah satu tekanan, cuma harapan untuk mencapai sesuatu yang lebih besar. Saya juga harap boleh dapat apa yang dimahukan sebagai jurulatih,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Bin Shen kembali ke pangkuan BAM sebagai jurulatih pada Disember 2020, berjaya membimbing pasangan nombor 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan pernah membawa gandingan itu muncul juara dunia pada 2022.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga mahukan pingat emas.

Justeru, Bin Shen mahu membantu pasangan negara itu meraih emas Olimpik dan ianya menjadi misi bersama, jurulatih dan pemain.

Beliau turut menganggap prestasi beregu nombor 5 dunia itu sudah semakin hampir ke tahap sebenar mengambil kira aksi ditampilkan Aaron-Wooi Yik dalam perlawanan simulasi.

“Persiapan pada ketika ini semuanya bagus dan kita ada masa (latihan) seminggu lagi di sana (Paris) nanti. Setakat ini, boleh dikatakan prestasi mereka berada pada tahap 80 hingga 90 peratus,” ujar Bin Shen.