Di saat Malaysia memerlukan detik pemisah, Ainsyah Murad tampil sebagai wira apabila ledakannya memastikan Malayan Tigress menewaskan Bangladesh 1-0 di Dhaka dalam aksi Kejohanan Tri Nations malam semalam gol tunggal yang hadir daripada keberanian, keyakinan dan naluri penyudah yang tajam.

Ainsyah, yang menjadi penjaring tunggal perlawanan, mengakui segala usaha keras dalam latihan menjadi pemangkin prestasinya. Lebih manis, gol itu hadir selepas beliau melihat ruang kecil di hadapan gawang sebelum membuat keputusan sepantas kilat.

“Saya baru sahaja melihat ruang gol, jadi saya tidak berfikir panjang dan terus merembat bola masuk,” katanya, menggambarkan detik penting yang menghadiahkan kemenangan buat Malaysia.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada rakan sepasukan yang menjadi tulang belakang kepada persembahannya di atas padang.

“Jika kita terus bekerja, insya-Allah kita akan berjaya. Saya berterima kasih kepada rakan-rakan saya. Mereka banyak membantu dan saya amat hargai semuanya,” ujarnya.

Ainsyah menegaskan tiada tekanan dirasai sepanjang perlawanan kerana keyakinannya datang daripada kualiti persiapan pasukan.

“Untuk saya sendiri, saya tidak merasa tertekan. Bagi saya, kami berlatih dengan keras… dan kami akan terus berlatih lagi,” katanya sambil menekankan komitmen skuad Malayan Tigress bagi menghadapi baki kejohanan.

Kemenangan ini bukan sahaja membuka langkah positif Malaysia dalam saingan Tri Nations, tetapi turut menyerlahkan peranan pemain muda seperti Ainsyah yang semakin matang, berani dan mampu mencipta detik pemisah ketika diperlukan.

Malayan Tigress kini membawa lebih keyakinan menjelang aksi seterusnya menentang Azerbaijan pada sabtu ini jam 9 malam waktu Malaysia.