Pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei kini memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan selepas selamat menjalani pembedahan lutut kiri di Melbourne, Australia susulan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) yang dialaminya bulan lalu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam satu kenyataan memaklumkan prosedur pembedahan tersebut berjaya diselesaikan semalam tanpa sebarang komplikasi.

Kecederaan itu dialami Ee Wei ketika beraksi dalam kejohanan Terbuka Singapura, sekali gus memaksanya berehat panjang daripada saingan kompetitif.

Pemain berusia 25 tahun itu meluahkan rasa lega selepas pembedahan berjalan lancar dan berterima kasih atas sokongan berterusan yang diterimanya sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini.

“Saya bersyukur pembedahan berjalan dengan lancar dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas sokongan serta kata-kata semangat yang diberikan. Ia amat bermakna buat saya.

“Fokus saya sekarang adalah terhadap proses rehabilitasi dan saya akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk kembali pulih. Saya berharap dapat kembali ke gelanggang dengan lebih kuat,” katanya.

BAM turut menegaskan badan induk itu akan terus memastikan Ee Wei menerima sokongan perubatan serta program rehabilitasi terbaik sepanjang tempoh pemulihannya.

Kehilangan Ee Wei pastinya memberi kesan kepada kem badminton negara, namun semua pihak berharap pemain itu mampu kembali beraksi pada tahap terbaik selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.