IMPIAN beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk mara ke final Terbuka Indonesia lebur akibat kesilapan mudah ketika aksi separuh akhir, sebentar tadi.

Dalam perlawanan di Istora Senayan, Jakarta itu, Tang Jie-Ee Wei bermula garang dengan memenangi set pertama 23-21 selepas aksi sengit selama 27 minit.

Namun, beberapa kesilapan tidak sepatutnya pada set kedua memberi ruang kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran untuk bangkit 21-15.

Set ketiga menyaksikan gandingan Thailand menguasai gelanggang sepenuhnya, manakala pasangan negara terus tenggelam sebelum tewas 11-21 dalam pertarungan 65 minit.

Tang Jie mengakui banyak melakukan kesilapan terutama ketika cuba menyerang di hadapan jaring yang akhirnya membawa padah.

“Saya bertanggungjawab penuh atas kekalahan ini… terlalu banyak kesilapan mudah ketika mahu menyerang,” katanya kepada BWF.

Ee Wei pula berkata mereka gagal memanfaatkan peluang penting terutama ketika kedudukan mata semakin sengit pada set kedua.