RATU skuasy negara, S. Sivasangari kini rasmi menjadi atlet skuasy pertama menyertai Program Road to Gold (RTG) dalam usaha memburu pingat Olimpik di Los Angeles 2028 (LA28).
Penyertaannya dimuktamadkan selepas mesyuarat jawatankuasa RTG, yang turut mengesahkan kedudukannya dalam senarai 2025 berdasarkan ranking dunia semasa dan pencapaian di peringkat antarabangsa.
Sivasangari antara 10 atlet yang hadir ke Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menandatangani perjanjian komitmen RTG, bersama barisan atlet elit dari badminton dan angkat berat.

Pemain skuasy wanita, S Sivasangari kini sandaran emas di Olimpik Los Angeles.
Selain Sivasangari, 11 lagi atlet RTG 2025 termasuk Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M. Thinaah, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Chen Tang Jie, Toh Ee Wei, Mohamad Aniq Kasdan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, hampir semua permohonan yang diluluskan menjurus kepada keperluan latihan tambahan dan penyertaan kejohanan penting bagi memperkukuh prestasi atlet menjelang 2028.

S Sivasangari gembira namanya tersenarai dalam program RTG.
“Kita sasarkan kedudukan empat atau lima terbaik dunia, barulah peluang pingat emas lebih cerah,” katanya, dalam sidang media selepas mesyuarat RTG di Menara KBS, Putrajaya.
Sivasangari pula mengakui sokongan RTG amat penting buat dirinya memandangkan dia berpangkalan di luar negara dan memerlukan dana persiapan ke Olimpik, selain menegaskan program ini memberi kelebihan besar kepada semua atlet terlibat.
“Semua pemain sedang berusaha ke arah Olimpik dan berada dalam program ini memberi kelebihan besar kepada kami untuk mendapatkan perkara yang benar-benar kami perlukan,” kata Sivasangari.