SELEPAS membelasah Brunei 7-1 dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Mandiri ASEAN B-23, ketua jurulatih Malaysia, Nafuzi Zain menzahirkan rasa lega dengan peningkatan prestasi anak buahnya namun mengakui cabaran sebenar masih belum bermula iaitu bertemu tuan rumah Indonesia.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Nafuzi memuji disiplin dan ketajaman jentera serangan negara yang jelas lebih klinikal berbanding aksi pertama menentang Filipina.

“Alhamdulillah, pemain menunjukkan persembahan yang baik dan beri komitmen tinggi, terutama bahagian hadapan yang lebih klinikal kali ini,” katanya.

Namun beliau tidak mahu pasukannya terlalu selesa dengan kemenangan besar itu kerana sedar dugaan lebih besar menanti dalam perlawanan terakhir kumpulan menentang Indonesia yang dijadualkan 21 Julai ini.

ketua jurulatih Malaysia, Nafuzi Zain menzahirkan rasa lega dengan peningkatan prestasi anak buahnya dalam perlawanan menentang Brunei B-23.

“Perlawanan Malaysia-Indonesia ini memang yang paling ditunggu-tunggu. Ia juga paling sukar sebab kita akan bertemu tuan rumah dan mereka adalah calon juara. Nak tak nak, kita kena cari kemenangan untuk mara ke separuh akhir,” jelasnya.

Tambah Nafuzi, faktor penyokong fanatik Garuda dijangka menjadi ‘pemain ke-12’ buat Indonesia, justeru beliau menuntut ketahanan mental yang tinggi daripada semua pemain Harimau Muda.

“Penyokong Indonesia sangat luar biasa. Jadi pemain saya perlu bersedia dari segi mental, ada keyakinan dan tahu macam mana nak serap tekanan dalam perlawanan nanti,” ujarnya.

Dalam perlawanan menentang Brunei, Nafuzi turut melakukan enam pertukaran dalam kesebelasan utama bagi memberi peluang dan pendedahan kepada pemain yang kurang minit permainan, di samping mengekalkan kecergasan tonggak utama bagi aksi penentu nanti.

Harimau Muda membelasah Brunei 7-1 dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Mandiri ASEAN B-23 dan bakal menentang Indonesia pada 21 julai di stadium gelora Bung karno.

“Kita beri peluang kepada semua pemain untuk dapat minit permainan. Ini juga penting sebagai persediaan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Malaysia kini menghuni tangga kedua kumpulan dengan tiga mata, dan hanya kemenangan ke atas Indonesia mampu menjamin tempat ke separuh akhir. Segalanya akan ditentukan dalam ‘final awal’ yang bakal berlangsung dalam suasana penuh tekanan di bumi Jakarta.