PASUKAN Thailand dikejutkan di hadapan ribuan penyokong sendiri apabila impian merangkul kejuaraan King’s Cup ke-51 lebur selepas tewas tipis 0-1 kepada Iraq dalam perlawanan akhir penuh sengit malam tadi.

Skuad Gajah Perang terpaksa akur apabila tandukan Mohanad Ali pada minit ke-75, hasil umpanan Ibrahim Bayesh, menjadi gol pemusnah meskipun mereka mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan.

Pertandingan akhir turut dicemari dengan dua insiden kad merah. Bintang Thailand, Chanathip Songkrasin, dikasari keras oleh Mohanad Ali pada minit ke-94, sebelum Frans Putros pula menerima layangan kad kuning kedua sekali gus diusir pada minit ke-75.

Skuad bimbingan Masatada Ishii gagal memanfaatkan kelebihan bilangan pemain meskipun menguasai permainan, apabila deretan peluang terhidang tidak berjaya disudahkan.

Kemenangan ini menjadikan Iraq juara King’s Cup buat kali kedua, selepas kali pertama meraih gelaran tersebut pada 2023 edisi ke-49 dengan menundukkan Thailand melalui penentuan sepakan penalti.

Pertembungan sengit itu berlangsung di Stadium Kanchanaburi, menyaksikan ribuan penyokong hadir memenuhi ruang stadium untuk memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.

Walaupun tewas, persembahan bersemangat Thailand menentang Iraq yang memiliki kelebihan fizikal serta taktikal dianggap persiapan bermakna menjelang aksi antarabangsa seterusnya.

 

sumber: ADAM IZZAC

foto:AFC