JAGUH badminton para negara, Cheah Liek Hou tidak pernah menyesal bersuara menuntut haknya selepas gagal menerima insentif RM60,000 yang dijanjikan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024 itu menegaskan tindakannya bukan untuk diri sendiri, sebaliknya bagi membela nasib semua atlet para negara.

“Kalau saya diam, perkara seperti ini mungkin akan berulang dan akhirnya merugikan atlet junior atau mereka yang bakal mewakili negara pada masa depan,” katanya, pada majlis Sidang Media Pemberian Tajaan Khas kepada pemenang pingat paralimpik Paris, di Menara KBS, Putrajaya.

Menurutnya, keberanian bersuara adalah tanggungjawab yang perlu digalas kerana atlet tidak boleh terus dibelenggu isu yang sama saban kali.

Sebelum ini, nama Liek Hou hangat diperkatakan apabila dia secara terbuka meluahkan kekecewaan di sosial media sehingga mencetuskan reaksi tidak senang Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin yang bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Tambahnya, perjuangan menuntut ganjaran itu juga datang daripada kesedaran bahawa karier seorang atlet tidak kekal lama dan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Kita semua tahu perjalanan sebagai atlet tidak panjang, mungkin beberapa tahun lagi saya bersara, jadi saya harap segala skim, bonus dan insentif benar-benar menyokong atlet serta tidak lagi menimbulkan isu seperti ini,” ujarnya.