PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil mempertahankan kredibilitinya apabila menafikan dakwaan palsu yang tular di media sosial, membabitkan satu grafik mengelirukan menggunakan wajah Pemangku Presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Menerusi hantaran rasmi, badan induk bola sepak negara itu menegaskan grafik berkenaan yang mendakwa kononnya FAM memohon maaf kepada umum serta mengumumkan pemberian khas kepada penyokong adalah tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan secara rasmi oleh pihaknya.

FAM secara tegas menolak kesahihan kandungan tersebut dan menyifatkannya sebagai berita palsu yang berpotensi mengelirukan orang ramai.

“Palsu!” jelas FAM secara ringkas dalam hantaran berkenaan.

Sehubungan itu, FAM menggesa orang ramai agar lebih berwaspada serta hanya merujuk kepada saluran rasmi persatuan untuk mendapatkan maklumat sahih, selain tidak menyebarkan sebarang kandungan yang tidak disahkan kesahihannya.