PENGANJURAN Sukan Sea 2027 dijangka tampil lebih telus dan integriti susulan beberapa pembaharuan yang diumumkan dalam sidang media Mesyuarat Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) bagi penggal 2025 hingga 2027, hari ini.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata temasya ini akan mematuhi Kod Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), sekali gus memperkukuh usaha membanteras penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet.
“Strategik ini didorong oleh Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Malaysia akan memastikan Sukan SEA Malaysia 2027 akan mematuhi sepenuhnya WADA, meningkatkan integriti dan kedudukan global permainan,” kata beliau.
Beliau juga menyatakan cara mereka mengurus adalah melalui pelbagai jawatankuasa, bukan secara langsung kepada majlis.
“Sebagai contoh, dari segi keadilan. Jika terdapat sebarang aduan yang ingin dibuat, proses tersebut mestilah telus dan jelas.
“Jadi hari ini, kami menegaskan bahawa semua perkara perlu dibawa ke jawatankuasa supaya tidak ada sebarang perkara yang samar dan semuanya akan diputuskan dengan jelas, sama ada hitam atau putih,” tambah beliau.
Selain itu, sebanyak 38 jenis sukan telah disenaraikan setakat ini untuk dipertandingkan dalam temasya ini dan negara-negara anggota masih boleh mengemukakan rayuan bagi penambahan acara sehingga tarikh tutup pada 8 Mei depan.
Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC), Dato’ Abdul Rashid Yaakub turut menambah senarai lokasi acara kini sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan pada bulan Mei depan.
Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 dijangka menjadi platform penting dalam memperlihatkan keupayaan Malaysia sebagai tuan rumah, sekaligus memperkukuh imej temasya ini.