Maghribi bersedia menguji kemampuan sebenar mereka apabila membuka kempen Piala Dunia 2026 dengan berdepan gergasi Amerika Selatan, Brazil, dalam aksi Kumpulan C yang berlangsung awal pagi esok.
Ketua jurulatih Maghribi, Mohamed Ouahbi percaya skuad Atlas Lions mempunyai segala sebab untuk tampil penuh keyakinan meskipun berdepan pasukan yang memiliki lima gelaran juara dunia itu.
Menurutnya, perlawanan menentang Brazil bakal menjadi penanda aras penting untuk menilai tahap sebenar pasukannya selepas kejayaan mencipta sensasi pada edisi 2022 di Qatar.
“Ini adalah ujian besar buat kami dan satu perlawanan yang boleh menunjukkan sejauh mana kemampuan pasukan ketika ini.
“Kami datang ke kejohanan ini dalam keadaan yang baik. Apa yang penting adalah mempercayai kemampuan sendiri serta menghargai apa yang telah dicapai sebelum ini.
“Sudah tentu Brazil sebuah pasukan yang hebat dan kami menghormati mereka, tetapi itu tidak bermakna kami perlu berasa takut,” katanya.
Empat tahun lalu, Maghribi mencuri tumpuan dunia apabila muncul negara Afrika dan Arab pertama yang berjaya mara sehingga ke separuh akhir Piala Dunia. Dalam perjalanan bersejarah itu, mereka menyingkirkan dua kuasa Eropah iaitu Sepanyol dan Portugal sebelum menamatkan kejohanan di kedudukan keempat.
Bagaimanapun, Ouahbi menegaskan status pasukan kejutan bukan lagi sesuai digunakan terhadap Maghribi ketika ini memandangkan mereka kini menduduki tangga ketujuh ranking dunia FIFA, hanya satu anak tangga di belakang Brazil.
“Kami berada dalam situasi yang berbeza berbanding beberapa tahun lalu. Pasukan ini kini mendapat lebih banyak penghormatan daripada lawan.
“Tanggungjawab kami adalah untuk memastikan tahap itu dapat dikekalkan dan membuktikan bahawa Maghribi mampu bersaing secara konsisten di pentas tertinggi,” katanya.
Sementara itu, tonggak pertahanan Paris Saint-Germain, Achraf Hakimi turut menyuarakan keyakinan bahawa Maghribi mampu memberikan saingan sengit kepada Brazil.
Menurutnya, walaupun menyedari kualiti tinggi yang dimiliki lawan, Maghribi mempunyai sasaran untuk melangkah lebih jauh berbanding pencapaian cemerlang mereka pada edisi terdahulu.
“Kami tahu siapa Brazil dan kemampuan yang mereka miliki. Namun kami juga mempunyai impian serta sasaran tersendiri.
“Kami mahu memulakan kejohanan ini dengan baik dan cuba melakukan sesuatu yang lebih hebat daripada apa yang kami capai sebelum ini.
“Dalam Piala Dunia, tiada perlawanan yang mudah dan saya percaya peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang,” katanya.
Pertembungan antara Maghribi dan Brazil dijangka menjadi antara aksi tumpuan peringkat kumpulan dengan kedua-dua pasukan dilihat berpotensi untuk melangkah jauh dalam saingan kali ini.
Sumber Gambar: Facebook/Equipe du Maroc