Kredit Gambar: Paul Ellis/AFP

Presiden Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), Patrice Motsepe menegaskan kedudukan Gianni Infantino sebagai Presiden FIFA perlu ditentukan menerusi proses pemilihan selepas Ireland menjadi persatuan bola sepak terbaharu menarik balik sokongan terhadap kepimpinan beliau.

Infantino kini berdepan tekanan yang semakin meningkat susulan kontroversi membabitkan cadangan penubuhan FIFA Forward Enterprise (FFE), termasuk rancangan yang dibatalkan untuk membuka sebahagian hak komersial Piala Dunia kepada pelabur swasta.

Tekanan terhadap Infantino bertambah selepas UEFA, CONCACAF dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menyatakan kebimbangan terhadap kepimpinan serta proses membuat keputusan FIFA, termasuk berhubung cadangan FFE.

Bagaimanapun, Motsepe yang juga Naib Presiden FIFA menegaskan sebarang usaha untuk mencabar kedudukan Infantino perlu dilakukan mengikut saluran yang ditetapkan dan keputusan akhir harus diserahkan kepada 211 persatuan anggota FIFA.

“Jika sesiapa mempunyai masalah dengan mana-mana individu, sama ada Gianni atau orang lain, ikut sahaja proses FIFA. Jika mahu menyingkirkannya, pergi ke pemilihan dan biarkan 211 persatuan anggota FIFA membuat keputusan,” katanya kepada Sky News.

Motsepe berkata semua pihak perlu menghormati proses pemilihan Presiden FIFA yang dijadual berlangsung pada Mac tahun depan, selain memberi peluang kepada setiap anggota menentukan sendiri sama ada mereka masih mempunyai keyakinan terhadap Infantino.

Kenyataan itu dibuat selepas Motsepe mengadakan pertemuan dengan Presiden UEFA, Aleksander Ceferin di Salzburg, ketika badan bola sepak Eropah berdepan kemelut dengan FIFA sehingga mengancam kemungkinan boikot Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab.

Dalam masa sama, Motsepe enggan membuat keputusan terburu-buru berhubung kontroversi tersebut dan menegaskan semua pihak perlu diberikan ruang untuk menyampaikan pandangan menerusi proses yang adil.

CAF sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Infantino, dengan Motsepe berpandangan tiada peraturan yang dilanggar dalam perbincangan mengenai cadangan penjualan hak Piala Dunia kerana sebarang keputusan besar tetap memerlukan kelulusan anggota FIFA.