Kredit Gambar: IG Story Romelu Lukaku
Romelu Lukaku menjadi antara nama besar terbaharu yang mencuri perhatian di Liga Turkiye selepas penyerang Belgium itu menerima sambutan hangat penyokong Fenerbahce setibanya di negara berkenaan untuk melengkapkan perpindahannya.
Lukaku, 33, tampil dengan jersi belang hitam dan kuning Fenerbahce ketika berinteraksi dengan penyokong yang membanjiri lokasi ketibaannya, sebelum dijadualkan diperkenalkan secara rasmi dalam satu majlis di stadium kelab berkenaan.
Kehadiran Lukaku menambah senarai pemain berprofil tinggi yang memilih Liga Turkiye musim ini, dengan Leandro Trossard, Nathan Ake, Mason Greenwood, Dusan Vlahovic dan Mohamed Salah turut dilaporkan menyertai kelab dalam liga tersebut.
Perkembangan itu mencetuskan perbandingan dengan fenomena penghijrahan pemain ternama ke Liga Pro Saudi, terutama apabila kelab-kelab Turkiye dilihat semakin agresif menawarkan pakej menarik untuk mendapatkan khidmat bintang antarabangsa.
Faktor kewangan turut menjadi antara tarikan utama. Salah misalnya dilaporkan menerima pakej bernilai 17 juta euro (RM80.22 juta) semusim bersama Trabzonspor, termasuk gaji dan bayaran tandatangan, selain bonus prestasi serta bahagian hasil berkaitan penggunaan imejnya.
Vlahovic pula dilaporkan memperoleh sekitar 6.4 juta euro (RM30.20 juta) setahun bagi tempoh tiga musim, menunjukkan kemampuan kelab Turkiye menawarkan kontrak lumayan kepada pemain berprofil tinggi.
Selain pakej gaji, struktur percukaian Turkiye turut menjadi faktor yang meningkatkan daya tarikan liga berkenaan, dengan pemain dikenakan kadar asas cukai sebanyak 20 peratus dan kelab lazimnya mengambil kira komponen tersebut dalam tawaran kontrak.
Pada masa sama, kelab-kelab Turkiye turut meningkatkan kemudahan serta infrastruktur bagi mewujudkan persekitaran lebih menarik kepada pemain bintang. Galatasaray, contohnya, membuka pusat latihan baharu bernilai sekitar 17.5 juta pound (RM96.45 juta) selain menaik taraf akademi dan fasiliti sukan lain.
Besiktas pula beraksi di stadium baharu bernilai 86 juta pound (RM473.99 juta) dan merancang membina pusat latihan baharu berhampiran Lapangan Terbang Istanbul, sekali gus memperlihatkan usaha kelab Turkiye untuk meningkatkan daya saing mereka dalam menarik nama besar dunia bola sepak.