Mauricio Pochettino secara rasmi memulakan tugasnya sebagai pengendali baharu Manchester United apabila tiba di pusat latihan Carrington, semalam, selepas menamatkan tanggungjawab bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat (AS).
Pengendali dari Argentina itu menamatkan kempen bersama AS dengan kemenangan 2-0 ke atas Haiti di Cincinnati sebelum segera berlepas ke England bagi memulakan persiapan bersama kelab baharunya.
Tumpuan utama Pochettino kini terarah kepada pertemuan menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Ahad ini, yang bakal menjadi penampilan pertamanya di bangku kejurulatihan United.
Kehadirannya di Carrington turut disambut dengan keterujaan apabila beliau mengakui peluang mengendalikan kelab berkenaan merupakan satu penghormatan besar dalam kariernya.
“Saya sangat teruja berada di sini. Satu penghormatan dan keistimewaan dapat bersama kelab hebat ini. Saya tidak sabar untuk memulakan tugas,” katanya kepada kakitangan kelab.
Menerusi mesej kepada penyokong United, Pochettino turut berharap hubungan erat dapat dibina bersama peminat bagi mengembalikan kegembiraan di Old Trafford.
“Saya tidak sabar untuk bertemu anda semua. Saya mendengar banyak perkara baik tentang anda. Saya berharap kita dapat membawa kegembiraan dengan bekerjasama dan menjalin hubungan erat.
“Ini akan menjadi musim istimewa untuk kita memberikan sokongan dan memastikan pemain berjuang di atas padang bagi mendapatkan keputusan yang sepatutnya kita raih,” katanya.
Pelantikan Pochettino diumumkan Jumaat lalu selepas Manchester United memecat Michael Carrick susulan permulaan musim yang mengecewakan, sekali gus mencatat rekod permulaan liga terburuk kelab sejak musim 1986-87.
Bekas pengendali Tottenham Hotspur dan Chelsea itu dilaporkan menandatangani kontrak bersama United sehingga penghujung musim 2028-29.
Bagaimanapun, Pochettino mengakui tugas mengembalikan United ke kelompok elit bola sepak England bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam masa singkat, meskipun cabaran itu memberikan motivasi besar kepadanya.
“Cabaran baharu ini memang besar, tetapi pada masa sama ia memberikan adrenalin yang kita mahu rasai,” katanya kepada TNT Sports US.
United kini berdepan tekanan untuk memperbaiki kedudukan dalam liga selepas hanya mencatat satu kemenangan sepanjang musim, dengan pertemuan menentang Liverpool di Anfield bakal menjadi permulaan penting buat Pochettino dalam usaha mengubah nasib pasukan.