PEMAIN sayap Kedah Darul Aman FC, Fayadh Zulkifli berjaya menjaringkan gol ke-10 peribadinya musim ini apabila menyumbat gol ketiga Kedah ketika bertemu Selangor FC pada Rabu.

Namun dia masih belum berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan dan mahu memberikan aksi terbaik setiap kali dia diberi peluang bermain oleh Aidil Sharin Sahak.

Dia yang menyambut ulang tahun ke-24 semalam mendapat hadiah istimewa apabila berjaya menjaringkan gol selepas dibawa masuk sebagai pemain gantian di babak kedua.

“Saya belum puas hati dan akan buat lebih baik untuk jaring lebih banyak gol selepas ini. Rasa bangga sebab apabila dimasukkan saya dapat jaringkan gol tetapi saya masih tidak berpuas hati sebab banyak melakukan kesilapan dan mahu beri yang terbaik.

“Sasaran saya kalau dapat diturunkan pada perlawanan ini adalah saya mahu menang dan sempena hari lahir saya ini, jaringan gol adalah hadiah istimewa buat saya dan ianya menambah lagi kegembiraan.

“Jurulatih sentiasa berpesan kepada saya sebelum masuk ke padang untuk buat yang terbaik dan jangan takut buat kesilapan kerana jaringan itu akan hadir kepada saya. Saya tidak pernah sasar untuk jaringkan gol tetapi saya hanya akan bagi yang terbaik buat pasukan,” jelasnya.

Fayadh juga mengatakan bahawa pasukan dalam keadaan yang gembira dengan tiga kemenangan berturut-turut ini dan mereka sebagai satu pasukan mahu memberikan komitmen untuk memastikan kemenangan.

Pemain kelahiran Baling ini kini sudah mengumpul 56 permainan dengan Kedah sejak 2019 dan berjaya menjulang trofi Piala FA 2019 selain beraksi baik di Piala AFC pada Jun lalu.