SEJARAH dicipta Malaysian Tigers apabila mara ke final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) buat kali pertama dengan menyingkir juara bertahan, Korea Selatan 6-2 dalam saingan separuh akhir di Stadium Mayor Radhakrishnan, Chennai, India.
Bagaimanapun Malaysia dikejutkan dengan gol awal Korea Selatan pada minit kedua melalui jaringan padang Cheon Ji Woo hasil kelalaian benteng pertahanan negara.
Malaysian Tigers tidak menunggu lama, menyamakan kedudukan apabila Azrai Aizad Abu Kamal menjaringkan gol penyamaan seminit kemudian hasil gerakan solo.

Azrai Aizad dihimpit pemain Korea ketika dalam aksi separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia 2023. -Pix Hockey India
Selepas itu, Najmi Farizal Jazlan meletakkan Malaysia di depan apabila berjaya melepaskan pukulan deras pada minit kesembilan, selepas pukulan sudut penalti Faizal Saari berjaya dikeluarkan pertahanan Korea Selatan.
Korea Selatan yang dibimbing Shin Seok Kyo, menyamakan kedudukan di hujung suku pertama melalui pukulan sudut penalti flicker sensasi mereka, Jang Jonghyun.
Malaysia menambah dua lagi gol pada suku kedua dengan kedua-duanya melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Faizal (19) dan Najmi (21) untuk selesa mendahului Korea Selatan 4-2.

Pertembungan sengit Malaysia-Korea di awal perlawanan berkesudahan Malaysian Tigers menang besar. -Pix Hockey India
Korea Selatan cuba bangkit pada suku ketiga dengan melancarkan serangan bertali-arus termasuk memperoleh tiga pukulan sudut penalti dan satu penalti stroke yang diambil Yang Jihun namun semuanya tidak berhasil menambah jaringan.
Suku keempat menyaksikan Malaysia menambah dua lagi gol untuk mengesahkan kemenangan dan merampas slot ke final apabila Shello Silverius meledak gol padang pada minit ke-47 dan 48.
Ia adalah kekalahan kali kedua berturut-turut Korea Selatan kepada Malaysia apabila pada saingan round robin kelmarin mereka tumpas 0-1.
Pada enam edisi lalu sejak 2011, Malaysian Tigers sekadar berpuas hati di tempat ketiga, lima kali berturut-turut (2011, 2012, 2013, 2016, 2018).