PENYERANG skuad Malayan Tigress B-20, Kaseh Carlmila, menepati janjinya kepada rakan sepasukan untuk menghadiahkan kemenangan dalam aksi terakhir Kelayakan Piala Asia Wanita B-20, selepas meledak dua gol menewaskan Guam 2-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam tadi.

Kaseh mengakui kemenangan ini sangat bermakna kerana ia hadir selepas dua kekalahan berturut-turut, 0-3 kepada Iran dan 0-16 kepada Jepun.

Namun baginya, kekalahan bukan alasan untuk berputus asa, sebaliknya menjadi pemangkin mencari solusi.

“Sebagai pemain bola sepak, kita ada turun naik. Kadang-kadang kita jaringkan gol, kadang-kadang tidak. Dari perlawanan pertama lagi saya cipta banyak peluang tapi tiada yang menjadi. Kuncinya adalah mindset — jangan cepat putus asa,” jelasnya.

Bagi penyerang berusia muda itu, perlawanan menentang Guam membuktikan pentingnya ketenangan di hadapan gawang.

“Saya cuba cari cara untuk bertenang dan fokus, dan akhirnya berjaya menjaringkan gol,” katanya.

FOTO:FAM