HARIMAU Malaya akhirnya sah akan menentang Singapura dan Palestin dalam dua aksi persahabatan antarabangsa, yang diharap berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada jendela antarabangsa FIFA September ini.

Perlawanan menentang Singapura pada 4 September dan Palestin pada 8 September itu menjadi medan ujian terakhir sebelum skuad negara berdepan Laos dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 Oktober depan.

Ketua jurulatih, Peter Cklamovski menegaskan pemilihan Singapura bukan dibuat kerana ia lawan yang ‘mudah’ sebaliknya, ia sebuah pertembungan derby yang penuh emosi dan memiliki tekanan tersendiri.

Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, Peter Cklamovski mahu Harimau Malaya berdepan perlawanan yang memilikitahap kesukaran berbeza dari segi emosi dan intensiti.

“Setiap perlawanan adalah untuk dimenangi, dan Singapura bukan lawan mudah, ini peluang baik untuk kami bermain bola sepak kami,” kata Cklamovski, pada “coffee sesion” bersama wartawan di Petaling Jaya.

Beliau menolak pemilihan Singapura disebabkan lawan itu pasukan yang mudah malah kedua-dua aksi terbabit akan dijadikan simulasi kepada suasana kejohanan sebenar seperti Piala Asia yang memerlukan pemain bersedia secara fizikal dan mental dalam tempoh singkat.

Selain itu, Palestin yang berada dalam kelompok 100 terbaik dunia dan sudah layak ke Piala Asia akan menguji sejauh mana tahap sebenar Harimau Malaya, berbanding cabaran emosi yang ditawarkan Singapura.

Cklamovski turut memberi amaran tiada pemain kebal dalam skuad kebangsaan dengan aksi Liga Super menjadi medan untuk ‘meminjam’ semula jersi Harimau Malaya bagi aksi seterusnya.

Malah jurulatih dari Australia itu menegaskan bahawa pertemuan menentang Singapura dan Palestin bukan sekadar aksi pemanas badan, tetapi sebahagian pelan strategik revolusi Harimau Malaya ke arah pasukan yang mampu bersaing di pentas Asia.