KETUA jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Nafuzi Zain menyifatkan kekalahan 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN Mandiri B-23 2025 sebagai satu pengajaran besar buat barisan muda Harimau Malaya.
Dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno, Nafuzi mengakui kecewa kerana skuad negara gagal memanfaatkan deretan peluang di depan gawang lawan meskipun menguasai sebahagian besar permainan.

FOTO:Sportflexmalaysia
Katanya, ketumpulan penyudah menjadi punca utama kegagalan mengutip tiga mata pertama.
“Kita bermain dengan baik, banyak mencipta peluang, tetapi kita tidak dapat jaringkan gol. Itu kelemahan paling ketara malam ini (semalam). Filipina ambil peluang yang mereka ada, dan itu bezanya – mereka menang, kita tidak,” ujarnya.
Nafuzi turut menegaskan beliau tidak menyalahkan para pemain memandangkan sebahagian besar daripada mereka masih muda dan sedang mengumpul pengalaman di pentas antarabangsa. Namun beliau mahu semua pihak segera bangkit dan fokus kepada perlawanan seterusnya menentang Brunei.
“Kita tidak boleh terus kecewa. Kita kena baiki apa yang kurang, terutama di bahagian pertahanan dan penyudah. Perlawanan menentang Brunei sangat penting, dan kita akan buat apa saja untuk menang,” tambahnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kurangnya kehadiran penyokong Malaysia di stadium, Nafuzi hanya berharap penyokong di tanah air terus mendoakan kejayaan pasukan dan percaya bahawa skuad Harimau Muda mampu bangkit dalam baki dua perlawanan peringkat kumpulan.