SKUAD Harimau Malaya perlukan semangat dan sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia, bukan palitan yang meruntuhkan moral pasukan kebangsaan.

Ketua jurulatih negara, Peter Cklamovski menyeru semua peminat bola sepak tanah air agar bersatu menyokong perjuangan anak buahnya yang sedang berjuang mengharumkan nama negara.

Beliau menegaskan sudah tiba masanya penyokong berhenti mempertikaikan status pemain warisan dan sebaliknya memberikan kepercayaan penuh kepada mereka yang telah sah mewakili Malaysia.

“Kita perlukan rakyat Malaysia bersama kami, bukan melawan kami… pemain-pemain ini sudah buktikan pengorbanan mereka untuk negara,” kata Cklamovski yang mengakui penat diasak isu naturalisasi.

Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan, Peter Cklamovski mahu Harimau Malaya dan peminat bersatu.

Lima pemain warisan, Jon Irazabal, Joao Figueiredo, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Facundo Garces, sudah mendapat kelulusan daripada kerajaan dan FIFA sebelum aksi bertemu Vietnam, 10 Jun lalu.

Cklamovski menyifatkan kemenangan 4-0 ke atas Vietnam bukan sahaja membuktikan kekuatan skuad Harimau Malaya, malah seharusnya menjadi titik penyatuan, bukan perbalahan dalam kalangan penyokong.

Beliau turut menegaskan bahawa semangat nasionalisme tidak diukur pada asal-usul pemain, tetapi pada keikhlasan mereka berjuang demi lambang di dada, dan itulah yang paling wajar diraikan.

Selepas menarik diri daripada Piala CAFA, skuad negara bakal berdepan dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin pada September sebelum menyambung kempen kelayakan Piala Asia 2027, Oktober depan.