LEBIH 3,000 peserta yang datang dari 19 negara berpeluang merasmikan Lebihraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) esok, menerusi kayuhan berbasikal RHB WCE Century Ride.
Penganjuran acara yang bertujuan mempromosi Lebuhraya Pantai Barat itu juga bakal mempromosikan kawasan setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad dan Pengarah Urusan WCE, Lyndon Alfred Felix berkata, pembukaan lebuhraya itu juga bakal meningkatkan lagi pelaburan dan pembangunan sekitarnya.
“Seramai 3,038 peserta mengesahkan penyertaan dan buat kali pertama kayuhan sepanjang 160 kilometer (km) di laluan sistem lebuhraya tertutup, diperkenalkan sekali gus menawarkan pengalaman unik dan kayuhan selamat,” katanya.
Acara yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Perak 2024 itu juga menawarkan pelbagai kategori termasuk peringkat umur membabitkan kayuhan 160km, 90km dan 28km bermula dan berakhir di Plaza Tol Lekir.
Pembabitan peserta luar negara yang terdiri daripada Argentina, Australia, Brunei, Kemboja, Kanada, China, Denmark, Hong Kong, Indonesia, Itali, Jepun, Korea, Belanda, Norway, Filipina, Rusia, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Alfred Felix dalam pada itu, menasihati peserta mengambil langkah tertentu bagi memastikan kayuhan lancar termasuk memeriksa basikal masing-masing sebelum saingan bermula.
Peserta akan mula dilepaskan pada jam 6.45 pagi di Plaza Tol Lekir.
“Kita akan lakukan banyak aktiviti termasuk penyampaian anugerah bagi kategori kompetitif.
“Jualan makanan dengan pelbagai pilihan juga tersedia dan peserta akan menerima baucar makanan.”
Tiga pemenang teratas dalam kategori 160km dan 90km bakal membawa pulang hadiah kemenangan wang tunai.