GANDINGAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah dijangka terus kekal bersama skuad kebangsaan, berdasarkan komitmen tinggi ditunjukkan sepanjang sesi latihan dan persediaan menjelang kejohanan utama.

Meskipun enggan mengulas isu kontrak pemainnya, ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak memberi bayangan bahawa pemainnya masih kekal berdisiplin.

“Kalau benda itu ada masalah, saya akan bersuara. Tapi setakat ini tiada apa-apa masalah dengan saya. Dari segi latihan, tiada kesan yang mengganggu. Mereka tetap fokus, ikut segala arahan dan menunjukkan kemahuan tinggi.

“Kalau tiada kemahuan itu yang susah, tapi mereka ada kemahuan. ‘Up and down’ itu perkara normal, tetapi ia tidak mengganggu saya dalam proses latihan mereka,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Rosman Razak tidak campur urusan peribadi pemain, namun gembira dengan presrasi Pearly-Thinaah.

Dalam pada itu Rosman gembira dengan prestasi pemainnya itu, ketika berdepan pemain utama dunia terutama dari China.

“Sekarang mereka tahu bagaimana nak kawal emosi, lawan balik tekanan, dan yang paling penting, tak cepat ‘down’ bila keadaan tak menjadi. Itu satu perubahan besar dalam mentaliti mereka,” jelasnya.

Beregu nombor tiga dunia itu kini sedang membuat persiapan menghadapi siri kejohanan penting termasuk Terbuka Jepun, Terbuka China (22 hingga 27 Julai) dan Kejohanan Dunia di Paris, Perancis (25 hingga 31 Ogos).

Mereka beraksi cemerlang dalam empat kejohanan terakhir sebelum ini apabila merangkul satu gelaran dengan menjuarai Terbuka Thailand dan muncul naib juara Terbuka Indonesia, selain mara ke separuh akhir Masters Malaysia dan suku akhir Terbuka Singapura.