KURANG 24 jam menjulang gelaran Terbuka Thailand, Pearly Tan-M Thinaah kembali turun gelanggang, namun bukan untuk bercakap mengenai persoalan kontrak, sebaliknya fokus kepada misi Masters Malaysia 2025.
Isu lanjutan kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kekal menjadi tanda tanya, namun kedua-dua pemain enggan mengulas lanjut ketika diajukan soalan mengenainya, seolah-olah memberi bayangan biar aksi di gelanggang yang berbicara.
“Apa yang penting sekarang, kami fokus satu perlawanan demi satu perlawanan. Menang di Thailand sudah berlalu, kini kami hanya mahu beri yang terbaik depan penyokong sendiri,” kata Thinaah ringkas, ketika sesi menguji gelanggang pertandingan di Axiata Arena.
Mereka dijadual membuka tirai saingan menentang wakil Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying dalam misi menebus kekecewaan tahun lalu yang menyaksikan langkah mereka terhenti di separuh akhir.
Pearly-Thinaah yang kini berada di ranking keempat dunia sedar tekanan lebih tinggi kali ini, apatah lagi beraksi di laman sendiri dengan harapan besar peminat sebagai penyuntik semangat.
“Sokongan penyokong sangat kami hargai. Tapi kami tak mahu terburu-buru. Kami hanya nak teruskan rentak, bukan terlalu fikir soal keputusan,” tambah Thinaah yang masih kelihatan letih selepas pulang dari Bangkok.
Bagi Pearly, kejayaan di Thailand hanya permulaan: “Kami perlu konsisten. Setiap kejohanan berbeza cabarannya. Kami nak buktikan kemenangan tempoh hari bukan nasib semata-mata.”
Aksi mereka di Axiata Arena bakal jadi tumpuan, bukan sekadar kerana status juara baharu, tapi juga persoalan besar: adakah kejohanan ini penentu hala tuju masa depan mereka bersama BAM?